KUALA LUMPUR 24 Nov - Cnergenz Berhad mencatatkan penyusutan untung bersih kepada RM2.03 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2023 (3QFY23) berbanding RM7.08 juta pada tahun lalu kesan daripada jualan yang lemah.
Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil kumpulan juga menyusut sebanyak 56.7% kepada RM27.18 juta kesan daripada jualan yang lemah pada suku berkenaan.
"Penurunan tersebut disebabkan sumbangan yang lebih rendah daripada Malaysia bagi penyediaan rumusan bersepadu dan penjualan mesin dan peralatan teknologi pelekap permukaan (SMT) dan Thailand bagi jualan mesin dan peralatan SMT mandiri.
"Kumpulan itu mencatatkan hasil sebanyak RM126.02 juta bagi temppoh 9MFY23 mewakili penyusutan sebanyak 28.50% berbanding RM176.26 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya," katanya.
Kumpulan itu menjangkakan trend pertumbuhan dalam industri pembuatan elektronik di Asia Tenggara akan berterusan memandangkan lencongan perdagangan sedia ada dari China ke Asia Tenggara.
Mereka juga percaya bahawa peningkatan tawaran perkhidmatan dan pelaburan berterusan dalam operasi membolehkan pihaknya mendapat manfaat daripada prospek positif semasa industri pembuatan elektronik di Asia Tenggara khususnya Malaysia, Vietnam dan Thailand.
"Kumpulan itu kekal berhati-hati dalam tempoh terdekat dan akan terus memantau persekitaran perniagaan memandangkan ketidaktentuan ekonomi global.
"Pemulihan ekonomi global berkembang pada kadar yang perlahan dan tidak sekata dan kesan berterusan pandemik dan ketegangan geopolitik," katanya. - DagangNews.com








