Untung bersih Censof susut lebih 70% pada suku ketiga ekoran kerugian pelaburan jangka pendek dalam DNeX | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Censof susut lebih 70% pada suku ketiga ekoran kerugian pelaburan jangka pendek dalam DNeX

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 15 Feb - Untung bersih Censof Holdings Bhd. bagi suku ketiga berakhir 31 Disember 2022 susut 72.53% kepada RM720,000 daripada RM2.62 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Penurunan itu disebabkan kerugian yang lebih tinggi yang diiktiraf atas pelarasan nilai saksama ke atas pelaburan jangka pendek dalam Dagang NexChange Bhd. (DNeX) sebanyak RM1.28 juta. 

 

Bagaimanapun, pendapatan kumpulan bagi tempoh itu meningkat 26.9% kepada RM27.09 juta daripada RM21.35 juta, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Kumpulan itu berkata, peningkatan itu didorong terutamanya oleh hasil projek yang lebih tinggi dan kontrak baharu yang diperoleh dalam kebanyakan segmen terutamanya FMS-G, WMS, FMS-C dan DT dengan pertumbuhan antara 16.6% dan 79.9%.

 

Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan berakhir 31 Disember 2022, untung bersihnya susut 64.89% kepada RM2.3 juta daripada RM6.55 juta manakala pendapatan meningkat 5.1% kepada RM68.57 juta daripada RM65.25 juta. 

 

Pendapatan kumpulan meningkat dalam tempoh itu disumbangkan terutamanya menerusi segmen WMS dan DT yang lebih tinggi.

 

DT ialah aliran hasil baharu kumpulan daripada perniagaan automasi proses robotik yang diperoleh pada Januari 2022 dengan pertumbuhan 94.2%. 

 

Sementara itu segmen WMS, anak syarikat di Indonesia memperoleh satu pelanggan utama baharu dan telah memasuki pasaran Malaysia dengan pertumbuhan 44.4%.

 

Mengenai prospek kumpulan, Censof berkata, keseluruhan tinjauan ekonomi untuk 2023 kekal mencabar kerana Bank Dunia melihat pertumbuhan di Malaysia menyederhana pada 4.5% apabila pertumbuhan eksport ke pasaran utama semakin perlahan.

 

"Walaupun begitu, pendigitalan dan penggunaan berterusan 5G, kecerdasan buatan (AI) dan Internet of Things (IoT) di Malaysia dijangka mewujudkan permintaan yang semakin meningkat untuk penyelesaian teknologi.

 

"Kumpulan akan terus memanfaatkan peluang ini dengan menawarkan penyelesaian inovatif melalui sinergi antara anak-anak syarikat untuk memberi perkhidmatan kepada asas pelanggan sedia ada dan baharu," katanya. - DagangNews.com