KUALA LUMPUR 28 Nov - Keuntungan bersih CCK Consolidated Holdings Berhad menurun 24% kepada RM19.98 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23) daripada RM26.39 juta bagi tempoh sama tahun lepas.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu berkata kemerosotan keuntungan pada 3QFY23 telah diheret oleh asas yang tinggi berikutan keuntungan sekali sahaja daripada pelupusan hartanah pelaburan berjumlah RM6 juta dan skim subsidi daripada Kerajaan Malaysia berhubung harga siling bagi ayam dan telur.
Pendapatan sesaham (EPS) kumpulan turut menyusut kepada 3.22 sen pada suku semasa daripada 4.22 sen tahun lalu.
Bagaimanapun, pendapatan syarikat pada suku dalam tinjaun ini meningkat 6.8% kepada RM252.7 juta berbanding RM235.6 juta tahun lalu.
Menurut CCK, pertumbuhan hasil sebahagian besarnya didorong oleh prestasi kukuh daripada segmen runcit dan prestasi yang lebih baik daripada segmen ternakan ayam yang mengimbangi penurunan dalam segmen perkhidmatan makanan.
Pada tempoh sembilan bukan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23), keuntungan bersih kumpulan itu berjumlah RM52.9 juta, meningkat 7.66% daripada RM49 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Pendapatannya bagi tempoh berkenaan pula melonjak 15% kepada RM729 juta berbanding RM643 juta tahun lalu.
Mengulas mengenai prospek syarikat, CCK berkata ia optimis dengan berhati-hati terhadap baki suku tahun ini.
Kumpulan itu berkata segmen perniagaan utamanya yang merangkumi peruncitan keperluan harian seperti telur, ayam, buah-buahan dan sayur-sayur adalah berhubung kait dengan sentimen dan permintaan pengguna tetapi berdaya tahan.
Bagaimanapun, CCK berkata turun naik dolar Amerika Syarikat berbanding ringgit kekal membimbangkan kerana ia membawa kepada turun naik harga jagung dan soya.
“Ini diburukkan lagi oleh peningkatan inflasi yang telah membawa kepada peningkatan keseluruhan dalam kos input bahan mentah serta di sepanjang rantaian bekalan.
“Fenomena ini berkemungkinan berterusan sehingga baki suku tahun ini dan akan menjejaskan struktur kos kedua-dua segmen runcit dan ayam,” tambahnya.
Oleh yang demikian, kumpulan itu berkata ia terus mengambil langkah proaktif untuk mengurangkan sebarang risiko yang mungkin timbul sambil mengoptimumkan kecekapan dan produktiviti merentas semua segmen perniagaan utamanya. - DagangNews.com








