Untung bersih Berjaya Food susut 17% kepada RM103.41 juta bagi FY23 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Berjaya Food susut 17% kepada RM103.41 juta bagi FY23

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Keuntungan bersih Berjaya Food Bhd menyusut 17% kepada RM103.41 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (FY23) daripada RM124.78 juta pada tahun sebelumnya.

 

Bagaimanapun, pendapatannya dalam tempoh itu meningkat  12% kepada RM1.12 bilion daripada RM997.76 juta sebelum ini, terutamanya disumbangkan oleh kempen pemasaran agresif dan strategi promosi berkesan pada FY23, di samping kedai tambahan yang beroperasi di Malaysia.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, kos operasi yang lebih tinggi akibat tekanan inflasi dan kadar pertukaran asing yang tidak memuaskan berbanding dolar Amerika Syarikat menjejaskan keuntungannya.

 

Pada suku terakhir bagi tahun kewangan 2023, syarikat mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah berjumlah RM17.28 juta daripada RM40.66 juta pada tahun sebelumnya, manakala perolehan berkurangan kepada RM271.75 juta berbanding RM291.27 juta sebelum ini.

 

Lembaga pengarah mengisytiharkan dividen interim keempat peringkat tunggal sesaham sebanyak 50 sen bagi tahun kewangan 2023 dengan tarikh kelayakan pada 12 September dan mesti dibayar pada 26 September 2023. 

 

Jumlah dividen yang diisytiharkan bagi tahun kewangan 2023 sebanyak 3.50 sen.

 

Dari segi prospek, Berjaya Food menjangkakan rangkaian kopi Starbucks mengekalkan momentum pertumbuhan perolehannya, selain turut meramalkan keputusan operasi kumpulan itu kekal memuaskan.

 

Kumpulan ini terlibat terutamanya dalam membangunkan dan menguruskan jenama Starbucks Coffee di Malaysia dan Brunei, rangkaian Kenny Rogers Roasters di Malaysia serta Jollibean dan jenama-jenama lain di Singapura. - DagangNews.com