Untung bersih 9MFY24 KUB Malaysia meningkat kepada RM26.4 juta didorong hasil lebih tinggi | DagangNews Skip to main content

Untung bersih 9MFY24 KUB Malaysia meningkat kepada RM26.4 juta didorong hasil lebih tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Mei - Untung bersih KUB Malaysia Bhd bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac 2024 (9MFY24) meningkat kepada RM26.4 juta didorong hasil yang lebih tinggi sebanyak RM393 juta.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, untung bersih dalam tempoh semasa sebahagian besarnya disumbangkan keuntungan saksama pelaburan dalam KUB Sepadu Sdn Bhd sebanyak RM9.1 juta dan keuntungan daripada pelupusan aset berjumlah RM3.9 juta ditambah prestasi memberangsangkan daripada bahagian gas petroleum cecair (LPG).

 

"Hasil kumpulan adalah lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lepas sebanyak 2% sumbangan daripada anak syarikat yang baharu diambil alih iaitu Central Cables Berhad (CCB) berjumlah RM21.4 juta.

 

"Bagaimanapun terdapat pengurangan ketara dalam hasil sebanyak RM7.7 juta sebahagian besarnya disebabkan oleh tamatnya beberapa kontrak bekalan peralatan ICT dan kontrak perkhidmatan penyelenggaraan pada tahun kewangan sebelumnya," katanya.

 

Kumpulan itu berkata, untung bersih bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2024 (3QFY24) meningkat kepada RM14.1 juta didorong peningkatan hasil kepada RM145.4 juta dengan sebahagian besarnya disumbangkan peningkatan prestasi perniagaan LPG.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu optimis akan kekal berdaya tahan berikutan pengambilalihan CCB baru-baru ini dan memberikan pertumbuhan yang lebih mampan pada masa hadapan.

 

Katanya, bagi bahagian LPG, pihaknya akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mempergiatkan usaha jualan serta pemasarannya untuk membina bahagian pasarannya bagi mengekalkan margin operasi terjejas kesan peningkatan kos input.

 

"Dengan adanya inisiatif ini, bahagian itu bersedia untuk mencatat prestasi yang lebih kukuh sepanjang baki tempoh FY24.

 

"Secara keseluruhannya, kumpulan akan terus berhati-hati terhadap prospek pasaran dan industri, sambil kekal fleksibel dalam melaksanakan pelan strategik dalam mengembangkan perniagaan sedia ada dan mengenal pasti peluang perniagaan baharu," katanya. - DagangNews.com