Untung bersih 3QFY24 PGF Capital meningkat kepada RM5.4 juta didorong peningkatan hasil sebanyak RM36.7 juta | DagangNews Skip to main content

Untung bersih 3QFY24 PGF Capital meningkat kepada RM5.4 juta didorong peningkatan hasil sebanyak RM36.7 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Jan - Untung bersih suku ketiga berakhir 30 November 2023 (3QFY24) PGF Capital Berhad meningkat kepada RM5.4 juta berbanding RM2.03 pada suku sama tahun sebelumnya didorong peningkatan hasil sebanyak 106.7% kepada RM36.7 juta.

 

Kumpulan itu berkata, segmen penebat dan produk berkaitan merupakan penyumbang utama kepada kedua-dua hasil dan keuntungan bagi suku berkenaan.

 

Katanya, segmen itu mencatatkan hasil yang lebih tinggi sebanyak RM36.3 juta, peningkatan 109.3% daripada RM17.4 juta pada 3QFY23, mencerminkan peningkatan output pengeluaran selepas selesai kerja pembaikan dan penyelenggaraan di salah satu barisan pengeluaran dan pemulihan yang berterusan dalam industri pembinaan di Australia.

 

"Keuntungan sebelum cukai (PBT) kumpulan meningkat 100.7% kepada RM7.4 juta daripada RM3.7 juta berbanding setahun yang lalu selaras dengan persekitaran perniagaan yang bertambah baik," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

PGF Capital berkata, bagi kumulatif 9MFY24, kumpulan itu melaporkan peningkatan hasil ketara sebanyak 44.1% hasil, berjumlah RM95.3 juta berbanding RM66.1 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

pgf
Fong Wern Sheng

 

Katanya, pertumbuhan yang teguh ini didorong oleh segmen penebat sebagai perniagaan merekodkan peningkatan 44.7% dalam hasil, mencecah RM93.8 juta dalam 9MFY24 berbanding RM64.8 juta dari setahun lalu.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PGF Capital, Fong Wern Sheng berkata, pemulihan sektor pembinaan Australia membantu meningkatkan permintaan terhadap produk penebat kumpulan itu dan disokong penerimaan mandatori Kod Pembinaan Negara yang disemak semula di negara itu bermula 1 Mei 2024.

 

"Pada masa ini, kilang kami beroperasi pada kapasiti penuh untuk memenuhi permintaan produk sedia ada.

 

"Kami menjangkakan trend permintaan semasa akan berterusan dan sebagai sebahagian daripada rancangan untuk meneroka pasaran baharu, kami sedang dalam proses merancang pembinaan kilang pembuatan baharu dengan kapasiti 38,000 tan metrik setahun," katanya. - DagangNews.com