KUALA LUMPUR 22 Ogos - Untung bersih Pekat Group Bhd meningkat sebanyak 33.4% kepada RM4.64 juta pada suku berakhir 30 Jun 2024 (2QFY2024) daripada RM3.48 juta setahun lalu berikutan sumbangan yang lebih baik daripada segmen dagangan dan margin perlindungan kilat dan pembumian (ELP).
Menurut makluman Pekat kepada Bursa Malaysia, peningkatan itu menjadikan pendapatan suku tahunan sesahamnya kepada 0.72 sen, daripada 0.54 sen.
Ia juga merupakan kedudukan paling kukuh Kumpulan itu dalam tempoh lebih dua tahun sejak 4QFY2021, apabila ia mencatat keuntungan bersih RM5.84 juta, dengan hasil RM54.4 juta.
Di samping itu, Kumpulan itu mengumumkan tiada dividen bagi suku tersebut.
Kumpulan itu juga berkata, hasil bagi suku tersebut susut 4.86% kepada RM56.57 juta, daripada RM59.45 juta.
"Susutan itu disebabkan sumbangan yang lebih rendah daripada bahagian PV solar pada RM33.15 juta berbanding dengan RM42.80 juta setahun lalu," ujar Pekat.
Menurut Pekat, segmen solar yang lebih lemah telah diimbangi oleh peningkatan 47.14% dalam hasil bahagian ELPnya kepada RM11.56 juta dan pertumbuhan 34.75% dalam hasil dagangannya kepada RM11.86 juta.
Bagi enam bulan berakhir Jun (1HFY2024), untung bersih Pekat telah meningkat sebanyak 26.87% kepada RM8.42 juta daripada RM6.64 juta tahun lepas, pada margin yang lebih baik dan apabila hasilnya telah meningkat 7.46% kepada RM114.2 juta, daripada RM106.27 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif Pekat, Tai Yee Chee menekankan sumbangan yang lebih tinggi daripada bahagian ELP mengunjurkan peningkatan aktiviti Kumpulan dalam pasaran pusat data yang berkembang pesat.
“Berikutan kejayaan projek ELP Kumpulan pada Ogos untuk kemudahan pusat data, kami kekal yakin dengan prospek bahagian itu dan akan terus meneruskan pertumbuhan buku pesanan dalam sektor ini.
"Sumbangan yang lebih tinggi daripada bahagian ELP dan dagangan mencerminkan daya tahan kumpulan dalam menangani kitaran merentasi segmen operasi kami," ujar beliau.- DagangNews.com








