Unjuran untung bersih Sentral REIT bagi FY24-25 ditingkatkan 5% setiap satu didorong penghunian penuh Sentral Building 4 – Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Unjuran untung bersih Sentral REIT bagi FY24-25 ditingkatkan 5% setiap satu didorong penghunian penuh Sentral Building 4 – Maybank IB

Bangunan pejabat empat tingkat, Sentral Building 4 yang terletak di Cyberjaya.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 10 Nov - Unjuran keuntungan bersih Sentral Real Estate Investment Trust (REIT) bagi tahun kewangan 2024 dan 2025 (FY24-25) ditingkatkan sebanyak 5% setiap satu memandangkan penghunian penuh Sentral Building 4 dari FY24 dan seterusnya.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata Sentral Building 4 telah diduduki sepenuhnya sejak Ogos 2023 dan ini meningkatkan penghunian portfolio Sentral REIT pada suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23) kepada 86%.

 

Firma penyelidikan itu berkata demikian susulan pendapatan REIT itu bagi suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23) dan sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23) dalam jangkaan, di mana 9MFY23 merangkumi anggaran tahun penuh FY23 firma dan konsensus masing-masing pada 74% dan 75%.

 

“Sentral REIT telah berjaya memperbaharui 54% daripada pajakannya yang perlu diperbaharui pada 9MFY23, dengan kadar pembaharuan 95%.

 

“Pengurusan percaya kos kewangan akan kekal stabil berdasarkan data Bank Negara Malaysia (BNM), seterusnya menyokong prestasi portfolionya,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Di samping itu, pengambilalihan Menara CelcomDigi, yang disasarkan selesai menjelang pertengahan Disember 2023, dijangka membantu meningkatkan lagi prestasi portfolio Sentral REIT.

 

Menurut Maybank IB, amanah pelaburan hartanah berkenaan juga merancang untuk melupuskan beberapa hartanah seperti Wisma Sentral Inai, yang kekal kosong, jika ada peluang untuk mengumpul dana bagi memperoleh hartanah baharu dan mengurangkan nisbah penggearan.

 

“Saiz aset Sentral REIT akan meningkat 20% kepada RM2.6 bilion manakala nisbah penggearan naik kepada 45% daripada 38% setakat akhir September.

 

“Purata wajaran pajakan portfolionya hingga tamat tempoh (oleh kawasan boleh disewa bersih [NLA]) juga akan dinaikkan kepada 4.9 tahun (suku ketiga 2023: 3.16 tahun),” tambahnya.

 

Maybank IB berkata Sentral REIT kini menawarkan hasil pengagihan seunit (DPU) bersih bagi FY24 sebanyak 7.5%.

 

Firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada 96 sen sesaham daripada 91 sen.  - DagangNews.com