Unjuran untung bersih Ranhill pada FY24 dinaikkan 12% didorong kenaikan tarif air domestik – MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Unjuran untung bersih Ranhill pada FY24 dinaikkan 12% didorong kenaikan tarif air domestik – MIDF Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 1 Mac - MIDF Research meningkatkan unjuran keuntungan bersih Ranhill Utilities Berhad bagi tahun kewangan 2024 (FY24) sebanyak 12% untuk mencerminkan kenaikan tarif air domestik.

 

Firma penyelidikan itu turut memperkenalkan unjuran keuntungan bersih FY25 berjumlah RM61 juta, meningkat 12% tahun ke tahun (YoY).

 

Kenaikan tarif air untuk segmen domestik telah diluluskan oleh kerajaan dan akan dilaksanakan di Johor mulai Februari 2024 dan seterusnya. 

 

MIDF Research berkata, tarif air kategori domestik di Johor akan menyaksikan peningkatan antara 5% dan 31% bergantung pada jenis penggunaan, yang sepatutnya menjadi peningkatan positif untuk anak syarikat 80 milik kumpulan itu, Ranhill SAJ Sdn Bhd pada masa hadapan.

 

Selaras dengan pelarasan unjuran pendapatan tersebut, firma berkenaan menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM1.07 sesaham daripada 80 sen sebelumnya.

 

Namun, firma itu mengekalkan saranan ‘neutral’ memandangkan kenaikan tarif air domestik baru-baru ini telah diambil kira pada paras harga saham terkini pada. 

 

“Secara amnya, harga saham Ranhill telah melonjak 100% dalam tempoh 12 bulan yang lalu – sahamnya kini didagangkan pada penilaian tinggi pada nisbah harga kepada pendapatan FY24 sebanyak 27 kali ganda, iaitu 31% di atas min sejarah, manakala hasil dividen telah dimampatkan kepada hanya 3%,” jelasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Mengulas tentang perkembangan loji solar berskala besar keempat (LSS4) 50 megawattt (MW), MIDF Research berkata loji Ranhill di Bidor, Perak itu telah mencapai tarikh operasi komersial sejak Februari dan akan beroperasi di bawah perjanjian pembelian kuasa (PPA) 25 tahun dengan Tenaga Nasional Berhad.

 

Firma itu menambah bahawa kadar pulangan dalaman terkumpul (PIRR) boleh menjadi agak menarik pada 8% hingga 9% memandangkan perbelanjaan modal yang lebih rendah, iaitu RM3.2 juta setiap MW berbanding kos loji LSS4 yang setanding pada RM3.5 juta setiap MW, manakala tarif Ranhill lebih tinggi pada kira-kira 19sen/kwj. 

 

“Bagaimanapun, ini telah dicerminkan dalam unjuran kami dengan anggaran RM5 juta hingga RM7 juta setiap tahun sepanjang 25 tahun, walaupun lebih rendah pada tahun-tahun awal sekitar RM2 juta hingga RM3 juta setahun disebabkan pembayaran keuntungan sukuk,” tambahnya.

 

Setakat pukul 9:46 pagi ini, saham Ranhill kekal pada RM1.13 dengan permodalan pasarannya bernilai RM1.5 bilion. - DagangNews.com