KUALA LUMPUR 7 Ogos - Kenanga Research menurunkan unjuran keuntungan bersih P.I.E. Industrial Berhad bagi tahun kewangan 2023 hingga 2024 (FY23-24) sebanyak 21% setiap tahun, susulan keputusan separuh pertama tahun kewangan 2023 (1HFY23) yang mengecewakan.
Firma penyelidikan itu berkata prestasi kumpulan pada 1HFY23 dijejas oleh pengurangan tempahan untuk produk berasaskan konsainan margin tinggi, ditambah dengan peningkatan kos utiliti dan kakitangan.
Keuntungan bersih kumpulan dalam tempoh tersebut adalah RM25.2 juta, susut 7% tahun ke tahun (YoY), adalah di bawah unjuran tahun penuh Kenanga Research dan konsensus dengan merangkumi hanya 29% dan 33%.
Menurut firma tersebut, P.I.E. Industrial terus berinteraksi dengan bakal pelanggan dalam pelayan, peranti perubatan dan ruang produk pengguna.
Firma itu berkata, kumpulan berkenaan menjangkakan kelembapan permintaan yang bermula pada Jun akan berterusan dalam beberapa bulan akan datang.
“Kami percaya bahawa ini disebabkan pelanggan beralih daripada mengekalkan paras stok yang tinggi kepada pengurusan inventori tepat pada masanya memandangkan prospek permintaan lemah berikutan kelembapan ekonomi global.
“Kumpulan itu terus terlibat dengan bakal pelanggan baharu dan kekal optimis dalam mendapatkan beberapa pelanggan dalam pelayan, peranti perubatan dan ruang produk pengguna.
“Kumpulan itu akan meneruskan rancangan pengembangannya, memperbesarkan Kilang 5 (100,000 kaki persegi) dan Kilang 6 (275,000 kaki persegi),” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.
Kenanga Research mengekalkan saranan ‘outperform’ dengan harga sasaran (TP) dikurangkan kepada RM3.61 sesaham daripada RM4.05.
Pada waktu penulisan, saham P.I.E. Industrial menokok 6 sen atau 2.3% kepada RM2.70, menilai permodalan pasarannya pada RM1.04 bilion. - DagangNews.com








