KUALA LUMPUR 8 Nov - Kenanga Research menaikkan unjuran keuntungan bersih Fraser & Neave Holdings Berhad (F&N) bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2024 (FY24) sebanyak 3% selepas anggaran margin pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) ditingkatkan.
Sehubungan itu, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan ‘outperform’ dengan harga sasaran (TP) dinaikkan 3% kepada RM29.40 sesaham daripada RM28.45.
Firma berkenaan menyelaraskan unjuran berkenaan berikutan keputusan FY23 syarikat makanan dan miniman itu menepati anggaran tahun penuhnya namun melebihi konsensus sebanyak 6%.
Di samping itu, jumlah dividen 50 sen yang diisytiharkan, terdiri daripada dividen khas 17 sen yang mengejut serta dividen akhir 33 sen, melebihi unjuran firma sebanyak 33 sen.
“Keuntungan bersih teras FY23 meningkat 21% tahun ke tahun (YoY) didorong oleh peningkatan lebih baik dalam jualan dan margin, yang membawa kepada dividen khas yang mengejutkan,” katanya dlaam nota penyelidikan hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih F&N bagi 4QFY23 melonjak 39% kepada RM137.6 juta, isytihar dividen 50 sen
Keuntungan bersih teras F&N pada FY23 berjumlah RM485 juta, tidak termasuk keuntungan RM51 juta yang merangkumi keuntungan nilai saksama daripada penswastaan Cocoaland.
Mengulas mengenai prospek pendapatan F&N, Kenanga Research berkata ia kekal positif, disokong normalisasi aktiviti ekonomi dan corak penggunaan, kepulangan pelancong antarabangsa ke Malaysia dan Thailand ditambah dengan lantunan semula dalam jualan eksport.
“Melangkah ke hadapan, kami difahamkan bahawa kumpulan itu bersedia untuk terus mengemudi ketidaktentuan pasaran dengan memanfaatkan portfolio jenamanya yang pelbagai, menggunakan inisiatif strategik laluan-ke-pasaran, melaksanakan strategi dalam kedai serta mengekalkan pembinaan jenama dan keterlibatan pelanggan yang konsisten,” tambahnya.
Firma itu berkata ia terus menyukai F&N disebabkan lantunan semula permintaan yang teguh untuk produknya, terutamanya dalam kategori miuman dan sedia diminum, kerana ekonomi telah bermula semula dan sekatan sempadan ditarik balik.
Di samping itu, firma tersebut berkata jualan eksport meningkat semula didorong oleh produk berharga kompetitif, manakala permintaan stabil untuk makanan keperluan.
Firma itu turut menjangkakan pemulihan pasaran Thailand, didorong peningkatan penggunaan domestik dan pemulihan pelancongan.
Pada pukul 10:33 pagi ini, saham F&N menokok RM1.22 atau 4.7% kepada RM27.04 dengan permodalan pasaran berjumlah RM9.9 bilion. - DagangNews.com








