KUALA LUMPUR 5 Feb - Unjuran pendapatan Tasco Berhad bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 hingga 2026 (FY24-26) masing-masing dikurangkan sebanyak 13%, 11% dan 13% untuk mengambil kira pemulihan jumlah penghantaran yang perlahan dan kelewatan penyerahan Pusat Logistik Shah Alam (SALC).
RHB Investment menjelaskan bahawa SALC sudah selesai dibina namun penyerahan kepada pelanggan berasaskan runcit hanya akan siap sepenuhnya selewat-lewatnya pada Mei.
“Kami menganggarkan gudang ini akan menjana sumbangan hasil sewa tambahan sebanyak RM20 juta hingga RM23 juta dan keuntungan RM11 juta hingga RM13 juta setahun, dengan potensi peningkatan tambahan daripada perkhidmatan lain,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata demikian susulan taklimat pasca keputusan suku ketiga tahun kewangan 2024 (FY24) dan lawatan tapak.
Firma tersebut mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) lebih rendah pada RM1.19 sesaham berbanding RM1.35 sebelum ini.
TP tersebut ditambat kepada harga perolehan FY25 sebanyak 12 kali dan selepas memasukkan premium alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) 2%, kerana skor 3.1 ESG kumpulan itu berada di atas median negara 3.0.
Dengan tinjauan lebih konservatif terhadap keseluruhan prospek FY24, RHB Investment kekal yakin pada FY25 dan seterusnya, didorong oleh pemulihan aktiviti perdagangan, projek perniagaan serantau, sumbangan daripada gudang baharu dan kredit penjimatan cukai yang lebih tinggi.
Menurut firma itu, keuntungan sebelum cukai (PBT) segmen logistik kontrak dalam tempoh sembilan bulan menguncup 32% tahun ke tahun kepada RM27.6 juta, terutamanya disebabkan oleh penurunan pergerakan kargo keluar akibat permintaan pengguna yang lebih lemah dan aktiviti perdagangan keseluruhan.
“Cabang rantaian simpanan sejuk agak mendatar, dengan sumbangan daripada pelanggan baharu dan impak lebih tinggi selepas pengambilalihan gudang Hai San baru-baru ini yang mengimbangi penurunan aktiviti perniagaan daripada pelanggan makanan dan runcit disebabkan situasi boikot yang berterusan.
“Blok B Pusat Logistik Westport (WPLC) seluas 270,000 kaki persegi kini siap dan sepatutnya diduduki sepenuhnya menjelang Mac,” tambahnya.
Di samping itu, kumpulan tersebut turut menyaksikan kemerosotan penghantaran dan jumlah unit bersamaan dua puluh kaki (TEU), dengan PBT bagi penghantaran kargo udara (AFF) dan penghantaran kargo laut (OFF) masing-masing merosot 84% kepada RM5.62 juta dan 94% kepada RM800,000 disebabkan oleh normalisasi kadar tambang dan jumlah penghantaran yang lebih perlahan.
Namun begitu, kenaikan kadar tambang - berpunca daripada krisis Laut Merah yang berterusan - seharusnya menyokong perniagaan antarabangsa Tasco, terutamanya AFF dan RHB Investment berpendapat bahawa ini mungkin dicerminkan dalam 4QFY24 dan seterusnya. - DagangNews.com








