KUALA LUMPUR 4 Mac - MIDF Research mengurangkan unjuran pendapatan Suria Capital Holdings Berhad bagi tahun kewangan 2024 dan 2025 (FY24-25) masing-masing sebanyak 28% dan 29% berikutan perbelanjaan pelunasan lebih tinggi yang telah menjelas pendapatan kumpulan pada FY23.
Seterusnya, taraf saranan kumpulan diturunkan kepada ‘jual’ dengan harga sasaran (TP) RM1.60 sesaham berbanding RM1.70 sebelumnya.
Firma penyelidikan itu berkata, keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) berjumlah RM41.8 juta pada FY23 meleset daripada unjuran tahun penuh firma dan konsensus masing-masing pada 75% dan 76%.
Ia menambah bahawa penyedia perkhimatan logistik dan pemaju hartanah di Sabah itu masih belum memenuhi syarat MFRS138 untuk mengiktiraf pajakan lanjutan, yang membawa kepada pelarasan dalam tempoh pelunasan bersamaan dengan tempoh konsesi awal sehingga 2034.
Suria Capital mengakhiri FY23 dengan PATAMI RM300,000 pada suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23), di mana hasil operasi pelabuhan utamanya mencatatkan sedikit penurunan sebanyak 2.6% yoy, sebahagian besarnya dipengaruhi oleh penurunan sederhana dalam pemprosesan kontenanya pada 4QFY23.
MIDF Research menjelaskan bahawa penurunan ketara 94.4% yoy dalam PATAMI teras terutamanya diheret oleh pelunasan tambahan ke atas aset konsesi.
“Bagi tahun ini, kami menjangkakan prestasi yang lebih baik terutamanya daripada sumbangan setahun penuh kilang SK Nexilis dan Kibing Group, yang memulakan operasi pada awal 4QFY23 dan diunjur menyumbang kira-kira 38,400 TEU setahun.
“Jumlah kargo konvensional juga dijangka meningkat berikutan kenaikan jumlah minyak pukal memandangkan jeti minyak baharu di Terminal Minyak Teluk Sapangar (SBOT) siap menjelang 2QFY24, memandangkan jeti sedia ada menghampiri kapasiti pengendalian maksimumnya.
“Daya pengeluaran kontena dan konvensional masing-masing diramalkan meningkat tahun ke tahun sebanyak 7% dan 3% tahun ini,” ulas firma itu dalam nota penyelidikan hari ini.
Pada rehat tengah hari, saham kumpulan itu menyusut 9 sen atau 4.6% kepada RM1.88 dengan permodalan pasaran bernilai RM650 juta. - DagangNews.com








