Unjuran pendapatan Sime Darby Plantantion bagi FY24-25 diturunkan sehingga 9% kesan kenaikan kos – RHB Investment | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Unjuran pendapatan Sime Darby Plantantion bagi FY24-25 diturunkan sehingga 9% kesan kenaikan kos – RHB Investment

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 23 Feb - RHB Investment menurunkan unjuran pendapatan Sime Darby Plantation Bhd (SDP) bagi tahun kewangan 2024 dan 2025 (FY24-25) sebanyak 8% hingga 9% selepas menaikkan andaian kos pengeluaran minyak sawit mentah (MSM).

 

Seterusnya, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan ‘neutral’ dengan harga sasaran (TP) lebih rendah pada RM4.15 sesaham daripada RM4.55 sebelumnya.

 

Firma tersebut menjelaskan bahawa kos pengeluaran MSM pada FY24 dijangka sederhana sedikit selepas ia mencatat kenaikan 4% kepada RM2,600 setiap tan pada FY23 akibat kos baja dan pengambilan pekerja yang lebih tinggi. 

 

Menurut firma itu, syarikat perladangan sawit itu hampir menggunakan semua baja yang dirancang untuk FY23. 

 

“SDP kini menganggarkan kos menjadi sederhana sedikit kepada RM2,500 setiap tan pada FY24, walaupun harga baja yang ditender lebih rendah 10% hingga 20% tahun ke tahun kerana SDP terus menjalankan kerja-kerja pemulihan di ladangnya pada 2024. Kami menaikkan andaian kos kami dengan sewajarnya untuk FY24-25,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

RHB Investment berkata demikian susulan prestasi SDP yang mengecewakan pada FY23 dengan merangkumi unjuran tahun penuh firma dan konsensus masing-masin pada 90% dan 65%.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih Sime Darby Plantation merosot 64% kepada RM200 juta pada 4QFY23

 

Menurut firma itu, penurunan keuntungan pada tahun berkenaan diheret oleh kerugian di Papua New Guinea dan margin hiliran yang lebih lemah.

 

Bagaimanapun, ia menjangkakan SDP akan mencatat pendapatan lebih kukuh FY24 disokong harga MSM yang lebih baik dan kos unit lebih rendah. 

 

Bagi FY24, firma itu mengekalkan andaian pertumbuhan buah tandan segar (BTS) bagi FY23-24 sebanyak 4% hingga 6% manakala andaian margin hiliran pada FY24-26 dikekalkan pada 4%.

 

“Kami percaya saham itu masih dinilai saksama – didagang pada 21 kali harga pendapatan (P/E) 2024, paling tinggi daripada julat syarikat pesaing sebanyak 18 kali hingga 21 kali,” tambahnya.

 

Pada pukul 9:48 pagi ini, saham Sime Darby kekal pada RM2.61 dengan permodalan pasaran sebanyak RM17.8 bilion.- DagangNews.com