Unjuran pendapatan Press Metal bagi FY23-25 ‘dipotong’ 6-9% kesan harga aluminium kembali normal – RHB Investment | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Unjuran pendapatan Press Metal bagi FY23-25 ‘dipotong’ 6-9% kesan harga aluminium kembali normal – RHB Investment

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 22 Mei - RHB Investment mengurangkan pendapatan Press Metal Aluminium Holdings Bhd bagi tahun kewangan 2023 hingga 2025 (FY23-25) sebanyak 6 hingga 9% berikutan harga semasa aluminium kembali normal.

 

“Analisis sensitiviti kami menunjukkan bahawa setiap perubahan AS$50 dalam harga aluminium akan memberi kesan kepada pendapatan Press Metal sebanyak kira-kira 4%, dan setiap perubahan 5% dalam kadar pertukaran dolar Amerika Syarikat dan ringgit Malaysia (USD/MYR) akan memberi kesan kepada keuntungan bersihnya sebanyak 4.2%,” katanya dalam nota hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata pengeluaran aluminium global meningkat sebanyak 9.6% bulan ke bulan (MoM) pada bulan Mac, selepas pengeluaran rendah bermusim pada Februari.

 

Bagaimanapun, firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) dikurangkan kepada RM5.71 sesaham daripada RM6.00 disebabkan inventori aluminium gudang London Metal Exchange (LME) masih rendah, kekurangan pelebur aluminium yang menghasilkan karbon rendah di ASEAN dan peralihan permintaan global kepada pelebur di Asia berikutan gangguan pengeluaran di Eropah.

 

Mengulas lanjut, RHB Investment berkata prospek aluminium suram disebabkan syarikat pelebur di Eropah Barat mungkin tidak akan muncul semula dalam tempoh terdekat disebabkan harga aluminium tidak menentu, bekalan tenaga tidak konsisten dan kesukaran proses untuk memulakan semula kilang.

 

Namun ia tidak penting memandangkan sumbangan mereka kepada bekalan global hanya kira-kira 4%, yang telah diimbangi oleh pemulihan pengeluaran di China, di mana syarikat pelebur di China Barat Daya telah beroperasi semula, manakala di Yunnan mungkin beroperasi semula bulan depan.

 

Jangkaan kapasiti dari China ini berkemungkinan membawa kepada lebihan aluminium untuk 2024 hingga 2025, sekiranya dasar catuan tenaga di Eropah dilonggarkan.

 

Penggunaan logam perindustrian di China, yang merupakan pengguna dan pengeluar aluminium terbesar dunia, dijangka kekal terkawal dan kelembapan dalam aktiviti pembinaan MoM di sana mungkin memburukkan lagi kebimbangan terhadap permintaan logam.

 

“Untuk makluman, ahli ekonomi RHB menjangkakan kelembapan selanjutnya dalam aktiviti ekonomi China, tetapi mereka juga berpendapat bahawa pemulihan dalam pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Amerika Syarikat pada separuh kedua mungkin menyokong prospek harga komoditi global,” tambahnya.

 

Firma tersebut menjangkakan pertumbuhan pendapatan tahun ke tahun (YoY) kumpulan pada suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23) perlahan 5 hingga 7% manakala pendapatan teras tidak berubah, disokong oleh penurunan harga alumina dan anod karbon.

 

“Namun begitu, permintaan global untuk aluminium dijangka meningkat 1 hingga 3% YoY dalam FY23-25, didorong oleh penembusan kenderaan elektrik secara beransur-ansur dan peralihan kepada penggunaan aluminium dalam semua kenderaan.

 

Ini, di samping inventori aluminium yang masih rendah dalam gudang LME, harus terus menyokong prospek positif permintaan aluminium pada masa akan datang,” tambahnya. -DagangNews.com