Unjuran pendapatan Power Root bagi FY24 dikurangkan 6% dengan jangkaan permintaan jualan lebih lemah – AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Unjuran pendapatan Power Root bagi FY24 dikurangkan 6% dengan jangkaan permintaan jualan lebih lemah – AmInvestment

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 4 Dis - AmInvestment Bank Research mengurangkan unjuran pendapatan Power Root Berhad bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 (FY24) sebanyak 6% untuk mengambil kira jangkaan permintaan jualan yang lebih lemah, sementara mengekalkan angka FY25-FY26.

 

Firma penyelidikan itu berkata pengurusan kumpulan itu menjangkakan suku akan datang lebih lemah dan pemulihan pasaran eksport pada suku keempat tahun kewangan 2024 (4QFY24).

 

“Walaupun pengurusan menjangkakan volum jualan FY24 menurun sebanyak 10% tahun ke tahun (YoY) disebabkan oleh sentimen pengguna yang lemah, kami menjangkakan margin sebahagian besarnya tidak berubah berikutan kos bahan mentah lebih rendah dan campuran produk lebih baik,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Sebagai imbasan, jualan domestik 2QFY24 merosot 23% YoY disebabkan kelemahan sentimen pengguna dan kos pentadbiran yang lebih tinggi, manakala jualan eksport menurun sebanyak 18% YoY kerana operasi Arab Saudi masih beralih kepada pengedar baharu yang membawa kepada jualan promosi yang rendah.

 

Firma itu berkata harga bahan mentah Power Root sebahagian besarnya di kemuncah, kecuali gula dan biji kopi premium yang masih meningkat.

 

Bagaimanapun, pihak pengurusan yakin dapat menguruskan kos yang tidak menentu dan menjangkakan margin akan mampan, kerana margin keuntungan kasar meningkat 0.6 mata peratusan suku ke suku (QoQ) kepada 51.7% pada 2QFY24.

 

Menurut AmInvestment, pengurusan menjangkakan hasil jualan 3QFY24 lebih lemah disebabkan oleh kelemahan sentimen pengguna tempatan yang lemah dan peralihan ke arah trend pengguna bertukar kepada jenama lebih murah.

 

Tambahnya, Power Root turut menjangkakan jualan lebih rendah daripada negara-negara GCC (Majlis Kerjasama Teluk) dan Arab Saudi kerana pelanggan telah membeli terlebih dahulu sebelum pelarasan dalam purata harga jualan sebanyak 5% hingga 10% pada 2QFY24.

 

Bagaimanapun, pengurusan memberi panduan untuk beberapa pemulihan dalam jualan eksport 4QFY24 disebabkan aktiviti penambahan.

 

Firma itu menambah bahawa Power Root akan terus memberi tumpuan kepada jenama pracampuran segera seperti Frenche Roast dan Oligo serta mengukuhkan penjenamaannya melalui strategi pemasaran untuk menguasai lebih banyak bahagian pasaran.

 

AmInvestment mengekalkan saranan ‘pegang’ dengan nilai saksama (FV) lebih rendah sebanyak RM2.18 sesaham daripada RM2.27 sebelumnya.

 

Pada pukul 11:02 pagi ini, saham Power Root menurun 3 sen atau 1.5% kepada RM1.92 dengan permodalan pasaran berjumlah RM933 juta.  - DagangNews.com