Unjuran pendapatan Pentamaster bagi FY23-25 dikurangkan sehingga 24% kesan jualan lebih rendah – AmInvestment | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Unjuran pendapatan Pentamaster bagi FY23-25 dikurangkan sehingga 24% kesan jualan lebih rendah – AmInvestment

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Unjuran pendapatan Pentamaster Corporation Berhad bagi tahun kewangan 2023 hingga 2024 (FY23-24) sebanyak 12% sehingga 24%, dengan mengandaikan jualan lebih rendah selepas keputusan suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23) di bawah jangkaan, kata AmInvestment Bank Research.

 

Jelasnya, keuntungan bersih kumpulan pada 1HFY23 sebanyak RM48 juta hanya menyumbang 39% daripada unjuran pendapatan FY23 firma dan 45% bagi konsensus.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan ‘pegang’ dengan nilai saksama (FV) lebih tinggi pada RM5.50 sesaham daripada RM4.64.

 

 

BACA: Untung bersih Pentamaster melonjak 23% kepada RM23.7 juta bagi 2QFY23

 

 

Firma itu berkata segmen automotif dan perubatan kumpulan tersebut memiliki prospek yang baik.

 

“Melangkah ke hadapan, kami kekal positif terhadap prospek jangka panjang kumpulan yang terus mengikuti momentum elektrifikasi automotif, penggunaan Industri 4.0 dan IoT (Internet Benda).

 

“Syarikat itu memanfaatkan i-ARMS (Sistem Pengilangan Robotik Automatik Pintar) untuk menyediakan rumusan automatik yang menyelaraskan proses pembuatan dan memudahkan perkhidmatan perubatan,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

AmInvestment berkata kumpulan itu membangunkan pembakaran wafer silikon karbida (SiC) generasi seterusnya dalam peralatan dengan ketahanan yang lebih baik dan keupayaan untuk menahan suhu sehingga 200 darjah.

 

Selain itu, Pentamaster menawarkan pengukuran voltan masa nyata dan ciri pemantauan suhu, yang menguji tekanan kebolehpercayaan suhu pada wafer, direka terutamanya untuk segmen automotif, tambahnya.

 

“Saham itu kelihatan cukup bernilai pada tahap semasa, didagangkan pada nisbah harga-pendapatan FY23 sebanyak 29 kali, sejajar dengan purata empat tahunnya,” katanya.

 

Pada waktu penulisan, saham Pentamaster turun 4 sen atau 0.7% kepada RM5.49 dengan permodalan pasaran sebanyak RM3.9 bilion. - DagangNews.com