Unjuran pendapatan MMHE pada FY24-25 diturunkan sehingga 10.4% kesan prestasi FY23 meleset daripada jangkaan – RHB Investment | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Unjuran pendapatan MMHE pada FY24-25 diturunkan sehingga 10.4% kesan prestasi FY23 meleset daripada jangkaan – RHB Investment

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 15 Feb - RHB Investment menurunkan unjuran pendapatan Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd (MMHE) bagi tahun kewangan 2024 dan 2025 (FY24-25) sebanyak 5.3% hingga 10.4% selepas prestasi kumpulan untuk FY23 meleset daripada jangkaan.

 

Firma penyelidikan itu menjelaskan bahawa kerugian bersih teras MMHE berjumlah RM490.1 juta adalah di bawah unjuran tahun penuh firma dan konsensus masing-masing sebanyak RM147.9 juta dan RM132.3 juta.

 

Hal ini kerana kumpulan itu masih menanggung peruntukan kos tambahan untuk projek yang sedang berjalan, tambah firma itu dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Dengan mengekalkan saranan ‘beli’, firma tersebut menetapkan harga sasaran (TP) lebih rendah ke atas MMHE pada 57 sen sesaham daripada 60 sen sebelum ini, selepas mengambil kira nilai buku sesaham kumpulan yang jatuh kepada 83 sen daripada RM1.04 kerana kerugian terkumpulnya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: MMHE catat kerugian bersih RM484 juta pada FY23 diheret kelemahan operasi kejuruteraan berat

 

“Melangkah ke hadapan, kami percaya perancangan projek yang kukuh, ditambah  usaha berterusan untuk tuntutan pemulihannya, akan memastikan keuntungan,” kata RHB Investment.

 

Mengulas tentang prospek kumpulan, firma penyelidikan itu berkata buku pesanan MMHE setakat suku keempat 2023 meningkat 10% suku ke suku kepada RM6.3 bilion, kerana kumpulan itu memperoleh projek ladang angin luar pesisir yang memberikan keterlihatan pendapatan sehingga FY27. 

 

“Bagaimanapun, pelaksanaan projek bagi buku pesanannya perlu dipantau memandangkan peruntukan kosnya berulang. 

 

“Buku tendernya berjumlah RM6 bilion hingga RM7 bilion, dengan pembahagian kerja 50:50 antara projek domestik dan antarabangsa,” tambahnya.

 

Menurut firma itu, MMHE sedang menyasarkan untuk mengimbangi portfolionya antara minyak dan gas serta peluang tenaga boleh diperbaharui. 

 

Sementara itu, RHB Investment menjangkakan perniagaan marin lebih perlahan pada suku-suku berikutnya disebabkan oleh persaingan sengit selepas pembukaan semula China. Kadar penggunaan semasa untuk dok kering adalah pada 50% hingga 80%.

 

Setakat pukul 9:38 pagi ini, saham MMHE kekal pada 47.5 sen dengan permodalan pasaran bernilai RM760 juta. - DagangNews.com