KUALA LUMPUR 11 Okt - Public Investment Bank (PublicInvest) menaikkan unjuran pendapatan Kerjaya Prospek Group Berhad bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 hingga 2025 (FY23-25) secara purata sebanyak 2.1%.
Ini adalah berikutan kontrak pembinaan bernilai RM226 juta yang diperoleh kumpulan itu semalam untuk pembangunan kondominium di Pulau Pinang.
BACA JUGA: Kerjaya Prospek raih kontrak RM226 juta bina pangsapuri di Pulau Pinang
“Kumpulan secara kumulatif telah memenangi pekerjaan bernilai RM1.5 bilion setakat ini, melebihi sasaran penambahan kerja FY23 kami sebanyak RM1.4 bilion.
“Dengan kemenangan pekerjaan ini, Kerjaya Prospek telah mencapai lebih 70% daripada buku tender FY23 sebanyak RM2 bilion,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut firma penyelidikan itu, walaupun ia telah menjangkakan dua kemenangan pekerjaan bernilai RM200 hingga 400 juta pada separuh kedua tahun kewangan 2023 (2HFY23), kumpulan itu mencapai 92% daripada jangkaan sebanyak RM400 juta setakat ini.
“Oleh itu, kami menyemak semula sasaran penambahan buku pesanan FY23 kami lebih tinggi 21% kepada RM1.7 bilion, kerana kami menjangkakan kemenangan pekerjaan tambahan menjelang suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23),” tambahnya.
PublicInvest berkata buku pesanan terkumpul kumpulan pada masa ini menambah 5% kepada RM4.97 bilion selepas mengambil kira kemenangan pekerjaan ini, memberikan keterlihatan pendapatan untuk tiga hingga empat tahun akan datang.
Firma itu mengekalkan saranan ‘outperform’ dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi pada RM1.63 sesaham daripada RM1.55 sebelumnya, ditambat pada nisbah harga kepada pendapatan (PER) 11 kali ganda.
Pada pukul 10:28 pagi ini, saham Kerjaya Prospek telah menokok 3 sen atau 2.2% kepada RM1.40 dengan permodalan pasarannya bernilai RM1.77 bilion. - DagangNews.com








