KUALA LUMPUR 23 Mei - Maybank Investment Bank (Maybank IB) meningkatkan unjuran pendapatan Hartalega Holdings Berhad (Hartalega) bagi tahun kewangan 2025 dan 2026 (FY25/26) masing-masing sebanyak 35% dan 19%.
Menurut firma penyelidikan itu, ini berdasarkan faktor keputusan sebenar FY24, kadar penggunaan yang lebih baik sebanyak 80%/80% daripada 75%/80%) dan kapasiti pengeluaran yang lebih tinggi sebanyak 36 bilion /37.5 bilion keping setahun (pcs p.a) daripada 31 bilion untuk FY25/26.
"Keuntungan bersih teras Hartalega bagi 4QFY24 sebanyak RM1.8juta (-97% YoY, -91% QoQ) melebihi jangkaan. Pengurusan juga lebih positif terhadap prospek sektor ini dengan meningkatnya permintaan sarung tangan dan keupayaan untuk memindahkan kos bahan mentah tambahan kepada pelanggan.
"Kadar penggunaan kilang telah meningkat kepada 73% dalam 4QFY24 pada kapasiti tahunan sebanyak 31 bilion keping. Kami menaikkan ramalan keuntungan FY25-26 sebanyak 19-35%.
"Harga sasaran juga dinaikkan kepada RM4.50 sesaham (+14 sen) pada P/B CY26E yang tidak berubah sebanyak 3.2x," katanya sambil memberi saranan Beli dalam nota penyelidikan hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Hartalega keluar daripada kerugian, raih untung bersih RM15.12 juta pada 4QFY24
Sementara itu, Maybank IB berkata, pendapatan yang lebih baik daripada jangkaan adalah disebabkan oleh margin EBITDA yang kukuh dan peningkatan volum jualan (+25% QoQ).
"Kadar penggunaan (UR) Hartalega melonjak kepada 73% pada 4QFY24, daripada 43% pada suku sebelumnya (3QFY24)," jelas firma penyelidikan itu.
Dalam pada itu, Maybank IB berkata, tinjauan margin bertambah baik berikutan permintaan sarung tangan yang lebih kukuh dan harga purata jualan (ASP) yang lebih tinggi daripada pesaing dari China serta kecekapan kos yang lebih baik selepas kilang di Bestari Jaya ditamatkan.
"Hartalega juga berjaya memindahkan kenaikan kos bahan mentah kepada pelanggannya manakala momentum jualan kekal kukuh dan kadar penggunaan dijangka meningkat kepada lebih 80% (pada kapasiti tahunan 31 bilion keping) pada bulan-bulan akan datang.
"Barisan pengeluaran baharu (untuk menambah 2.3 bilion pcs p.a.) bersedia untuk menampung permintaan yang semakin meningkat, kerana Hartalega sedang merancang dengan teliti untuk meningkatkan kapasitinya kepada 36 bilion pcs p.a. menjelang akhir FY25," ujarnya.- DagangNews.com








