KUALA LUMPUR 13 Dis - TA Securities mengurangkan unjuran pendapatan Bermaz Auto Berhad bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2025 (FY25) sebanyak 4.1% selepas mengambil kira margin lebih rendah dan kesan pendapatan susulan penamatan hak pengedaran Peugeot di Malaysia.
Firma penyelidikan itu berkata Peugeot menyumbang kira-kira 4% daripada jumlah jualan kumpulan dalam separuh pertama tahun kewangan 2024 (1HFY24) yang berakhir pada 31 Oktober 2023.
“Kami tidak melihat kesan pendapatan yang ketara daripada pengembalian jenama Peugeot kepada pemiliknya Stellantis NV, berikutan keputusan Stellantis untuk menubuhkan syarikat jualan nasional (NSC) sendiri di Malaysia,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sementara itu, unjuran pendapatan FY24 dinaikkan 16.3% selepas kumpulan itu mencatat keputusan suku kedua tahun kewangan 2024 (2QFY24) lebih tinggi daripada jangkaan dan firma itu menyemak semula andaian jumlah jualan lebih tinggi sebanyak 9.3%.
Firma itu turut memperkenalkan unjuran pendapatan FY26 berjumlah RM238 juta.
Menurut TA Securities, keputusan 2QFY24 kumpulan itu mengatas jangkaan selepas keuntungan bersih teras meningkat 35.5% tahun ke tahun (YoY) kepada RM89 juta berikutan kenaikan pendapatan sebanyak 28.6%.
“Keputusan yang membanggakan itu didorong terutamanya oleh model CX-30 CKD, yang diperkenalkan ke pasaran domestik pada Mac 2023 serta sumbangan yang lebih tinggi daripada operasi Filipina,” katanya.
Secara kumulatif, keuntungan bersih teras Bermaz Auto bagi 1HFY24 melonjak 63.3% YoY kepada RM189.2 juta, mencakupi 67% dan 62% daripada anggaran tahun penuh firma tersebut dan konsensus.
“Kami menjangkakan jumlah jualan berkurang pada 2HFY24 disebabkan ketiadaan insentif cukai jualan dan sentimen pengguna yang lemah.
“Kami mendapati bahawa tempahan tunggakan semasa Bermaz Auto telah berkurangan kepada sekitar 2,500 unit daripada 4,500 unit pada September 2023,” katanya.
Dengan potensi peningkatan harga saham lebih daripada 7%, TA Securities menaik taraf saranan Bermaz Auto kepada ‘pegang’ denga harga sasaran (TP) lebih tinggi pada RM2.33 sesaham selepas pelarasan pendapatan.
Pada pukul 12:16 tengah hari ini, saham Bermaz Auto telah menokok 7 sen atau 3% kepada RM2.37 dengan permodalan pasaran berjumlah RM2.78 bilion. - DagangNews.com








