Unjuran pendapatan Astro pada FY25-26 dikurangkan sehingga 46% kesan penurunan hasil langganan TV – Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Unjuran pendapatan Astro pada FY25-26 dikurangkan sehingga 46% kesan penurunan hasil langganan TV – Maybank IB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 25 Mac - Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengurangkan unjuran pendapatan Astro Malaysia Holdings Bhd bagi tahun kewangan 2025 dan 2025 (FY25-26) masing-masing sebanyak 46% dan 29% berikutan hasil langganan TV yang lebih rendah daripada jangkaan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, ia menurunkan ramalan hasil langganan TV pada FY25-26 sebanyak 3% dan 2%.

 

Selain itu, ia memperkenalkan unjuran pendapatan FY27 yang dijangka berkurang 7% tahun ke tahun (YoY) berdasarkan penyusutan hasil langganan TV sebanyak 3% YoY.

 

“Pada pandangan kami, FY25 akan menjadi sukar bukan sahaja kerana hasil langganan TV yang menurun, tetapi juga kos kandungan UEFA Euro Cup dan Sukan Olimpik Musim Panas yang tinggi,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut Maybank IB, meskipun Astro telah memperkenalkan pakej baharu pada harga permulaan lebih rendah dan masih meningkatkan usaha anti-cetak rompak, kumpulan itu menyatakan bahawa prospeknya masih tidak menentu berikutan sentimen pengguna yang masih lemah didorong oleh inflasi yang tinggi dan cetak rompak kandungan yang berterusan. 

 

“Selepas menyelaraskan hasil langganan Piala Dunia FIFA dalam suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23), hasil langganan TV pada 4QFY24 berkurang 3% QoQ atau kadar terpantas dalam dua tahun,” tambahnya.

 

Selain hasil langganan TV, firma itu turut mengambil kira kadar pertumbuhan terminal yang lebih rendah dan oleh itu, ia menilai harga sasaran (TP) Astro lebih rendah pada 29 sesaham berbanding 47 sen sebelumnya namun menaikkan saranan kepada ‘pegang’.

 

“Memandangkan harga saham Astro telah menjunam sebanyak 42% dalam tempoh enam bulan yang lalu dan kini terdapat potensi peningkatan 5% kepada harga sasaran baharu, kami menaik taraf saranannya kepada ‘pegang’ daripada ‘jual’,” ujarnya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih Astro suku keempat meningkat kepada RM44.36 juta

 

Pada 4QFY24, keuntungan bersih teras kumpulan sebanyak RM35 juta membawa keuntungan bersih teras FY24 kepada RM176 juta atau hanya 68% daripada anggaran setahun penuh Maybank IB disebabkan pendapatan langganan TV meleset daripada jangkaan, iaitu RM60 juta lebih rendah pada RM2.69 bilion.

 

Disebabkan perbelanjaannya yang agak tetap, kehilangan hasil kecil boleh menyebabkan kehilangan keuntungan bersih teras yang besar.

 

Setakat pukul 10:35 pagi ini, saham Astro menokok 0.5 sen atau 1.7% kepada 30 sen dengan permodalan pasarannya bernilai RM1.57 bilion. - DagangNews.com