KUALA LUMPUR 2 Nov - Kenanga Research mengurangkan unjuran keuntungan bersih SLP Resources Berhad bagi tahun kewangan 2023 dan 2024 (FY23-24) masing-masing sebanyak 9% dan 8% berikutan pemulihan margin yang lemah.
Terdahulu, firma penyelidikan itu menjangkakan prestasi kewangan SLP Resources bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23), yang akan dikeluarkan minggu depan, di bawah jangkaan.
Firma itu berkata keuntungan bersih teras kumpulan itu dalam 9MFY23 dianggarkan menurun 22% hingga 29%, sebahagian besarnya disebabkan kelemahan harga produk di seluruh sektor yang akan menjejas margin.
“Kami menganggarkan bahawa keuntungan bersih teras SLP pada 9MFY23 pada RM10 juta hingga RM11 juta, membentuk hanya 63% hingga 73% daripada ramalan tahun penuh kami dan anggaran konsensus.
“Perbezaan berbanding ramalan kami sebahagian besarnya berikutan ketiadaan pemulihan yang ketara dalam marginnya berikutan pelbagai cabaran makro global,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Bagaimanapun, Kenanga Research menjangkakan daya tahan berterusan dalam permintaan untuk beg dapur dan beg sampah yang dijual terutamanya kepada Jepun, menyumbang kira-kira 30% daripada jumlah hasilnya.
Jelasnya, ini disebabkan oleh pemulihan ekonomi Jepun yang sederhana dan sentimen perniagaan bertambah baik.
“Sebaliknya, permintaan untuk beg fesyennya dijangka kekal lemah, sebahagian besarnya disebabkan oleh perbelanjaan pengguna yang lemah di Australia susulan kadar faedah dan inflasi yang tinggi,” tambahnya.
Menurut firma itu, pada FY22, Jepun dan Australia masing-masing menyumbang kepada kira-kira 31% dan 4% daripada jumlah jualan SLP, dengan sebahagian besar baki dari Malaysia.
Kenanga Research mengekalkan saranan ‘market perform’ dengan harga sasaran (TP) lebih rendah pada 85 sen sesaham daripada 90 sen sebelumnya, sementara dividen FY23-24 diunjur 5 sen daripada 5.5 sen sebelumnya.
Setakat pukul 12:04 tengah hari ini, saham SLP susut 0.5 sen atau 0.6% kepada 88.5 sen dengan permodalan pasarannya bernilai RM280.5 juta. Setakat ini, saham SLP telah menurun 14% daripada paras RM1.03 pada 8 Februari 2023. - DagangNews.com








