Unjuran keuntungan bersih Press Metal bagi FY23-25 dikurangkan sehingga 18% berikutan prospek aluminium kekal mencabar – Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Unjuran keuntungan bersih Press Metal bagi FY23-25 dikurangkan sehingga 18% berikutan prospek aluminium kekal mencabar – Maybank IB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 24 Okt - Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengurangkan unjuran keuntungan bersih Press Metal Aluminium Holdings Berhad bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 hingga 2025 (FY23-25) masing-masing pada 18%, 5% dan 15%.

 

Ini adalah berikutan prospek aluminium yang kekal mencabar, di mana firma penyelidikan itu mengandaikan purata harga aluminium bagi FY23-25 masing-masing pada AS$2,200; AS$2,300 dan AS$2,350.

 

Firma penyelidikan itu berkata Bloomberg Intelligence (BI) menjangkakan pertumbuhan permintaan aluminium kekal tidak memberangsangkan pada 1%, 3% dan 2% masing-masing untuk 2023 hingga 2025.

 

Jelasnya, pertumbuhan akan didorong terutamanya oleh sasaran pengurangan pelepasan gas rumah hijau (GHG) global, yang meningkatkan penembusan kenderaan elektrik (EV) dan kenderaan lebih ringan, mengimbangi permintaan tidak memberangsangkan daripada sektor pembinaan global.

 

“BI juga meramalkan pasaran aluminium global merekodkan bekalan global melebihi permintaan global kurang daripada 500,000 tan setiap tahun untuk 2023-2025.

 

“Bloomberg menjangkakan harga aluminium pada purata AS$2,100 hingga AS$2,300 setiap tan pada 2024-2025 (berbanding ramalan kami sebanyak AS$2,300-2,350,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Berikutan semakan pendapatan sesaham (EPS) negatif, Maybank IB menurunkan taraf saranan saham Press Metal kepada ‘pegang’ dengan harga sasaran (TP) lebih rendah sebanyak MYR4.90 sesaham daripada saranan ‘beli’ dan TP RM5.40 sebelum ini.

 

Mengulas mengenai jangkaan terhadap prestasi suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23) kumpulan yang akan dikeluarkan pada November 2023, firma itu berkata pendapatannya mungkin sekitar RM300 juta hingga RM350 juta (2QFY23: RM305.8 juta), kecuali sebarang perubahan yang tidak dijangka dalam struktur kos.

 

Firma itu berkata anggaran tersebut adalah disebabkan purata harga aluminium LME yang rendah sedikit sebanyak AS$2,203 setiap tan pada 3QFY23 (berbanding AS$2,283 setiap tan pada 2Q23) tetapi diimbangi oleh pendapatan syarikat bersekutu yang lebih tinggi sedikit daripada PT Bintan.

 

Ini disebabkan jumlah jualan alumina lebih tinggi berikutan projek pembesaran alumina Fasa 2 (tambahan 1 juta tan yang memulakan operasi sepenuhnya pada pertengahan 2Q23).

 

“Anggaran keuntungan bersih teras 3QFY23 kami membayangkan pendapatan terkumpul sembilan bulan pertama tahun ini (9M23) sebanyak RM889 juta hingga RM939 juta, iaitu 74% hingga 78% daripada unjuran tahun penuh FY23 kami yang disemak semula namun lebih rendah daripada ramalan konsensus pada RM1,335 juta,” tambahnya.

 

Pada pukul 11:20 pagi ini, saham Press Metal turun 8 sen atau 1.7% kepada RM4.78 dengan permodalan pasarannya bernilai RM39.4 bilion.  - DagangNews.com