Unjur ekonomi Malaysia naik 5%, MIDF Research pantau pertumbuhan lemah China, kemelesetan AS | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Unjur ekonomi Malaysia naik 5%, MIDF Research pantau pertumbuhan lemah China, kemelesetan AS

MIDF Research jangkakan permintaan pengguna akan terus berkembang pada 2024. Gambar NAIM AZIZ/DagangNews
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 2 Sept - Pertumbuhan lebih lemah di China, risiko kemelesetan Amerika Syarikat (AS) dan peningkatan ketegangan geopolotik dilihat antara faktor yang boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang kini diramalkan berkembang pada 5.0% tahun ini, kata MIDF Research.

 

Faktor lain yang turut diberi perhatian oleh firma penyelidikan itu termasuk gangguan berpotensi kepada rantaian bekalan dan aliran perdagangan global. 

 

"Di peringkat domestik, walaupun inflasi secara umumnya terkawal, potensi kenaikan harga akibat perubahan dasar yang dirancang boleh menjejaskan sentimen pengguna dan perbelanjaan budi bicara mereka," katanya yang lebih optimistik mengenai keadaan ekonomi domestik.

 

MIDF Research dalam nota penyelidikan hari ini berkata, mengambil kira pertumbuhan kukuh pada suku kedua 2024 (2Q24), perkembangan menggalakkan dalam permintaan domestik dan pemulihan berterusan dalam permintaan luar, pertumbuhan ekonomi Malaysia kini diramalkan meningkat kepada +5.0% tahun ini (2023: +3.6%).

 

"Kenaikan berterusan dalam Indeks Pelopor (LI) juga menunjukkan asas-asas pertumbuhan positif akan berterusan dalam jangka terdekat, iaitu pada separuh kedua 2024 (2H24)," jelasnya.

 

Melihat ke hadapan, MIDF Research menjangkakan permintaan pengguna akan terus berkembang, disokong oleh pasaran pekerjaan yang stabil, peningkatan aktiviti pelancongan dan dasar ekonomi yang menyokong. 

 

Walau bagaimanapun, katanya, risiko penurunan yang berpotensi masih wujud terutamanya jangkaan inflasi yang tinggi dan sentimen pengguna yang lesu.

 

"Pada 2H24, kami meramalkan kenaikan harga secara beransur-ansur, disebabkan oleh penyasaran subsidi diesel, peningkatan caj utiliti, kadar SST yang lebih tinggi sebanyak 8.0% untuk barang-barang terpilih dan cukai barang nilai rendah (LVGT) sebanyak 10%. 

 

"Menjelang 4Q24, kami menjangkakan kemungkinan pelaksanaan mekanisme apungan terkawal untuk harga RON95 sebagai hasil daripada pelaksanaan rasionalisasi subsidi," ujarnya.

 

Menurut MIDF Research, jangkaan yang semakin meningkat pemotongan kadar faedah oleh Fed AS telah menjadi faktor utama yang mempengaruhi pasaran kewangan, dengan ringgit mengukuh secara ketara sebanyak +6.2% bulan ke bulan dan ditutup pada RM4.321 pada akhir Ogos 2024 berbanding akhir Julai 2024, RM4.591. 
 

Katanya, penutupan pada akhir bulan tersebut merupakan tahap terkuat yang pernah dicapai sejak Februari 2023.

 

"Memandangkan pasaran akan terus dipengaruhi oleh jangkaan pemotongan kadar, kami meramalkan ringgit mempunyai ruang untuk mengukuh kepada sekitar RM4.23 menjelang akhir tahun," jelas MIDF Research. - DagangNews.com