UMW, IOI Corp meterai perjanjian khidmat jangka panjang bernilai RM50 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UMW, IOI Corp meterai perjanjian khidmat jangka panjang bernilai RM50 juta

KUALA LUMPUR 6 Dis - Anak syarikat Kumpulan UMW, UMW Industrial Power Services Sdn Bhd (UIPS) telah menandatangani perjanjian perkhidmatan jangka panjang (LTSA) dengan perniagaan perladangan IOI Corp Bhd yang bernilai RM50 juta.

 

UIPS merupakan pengedar sah enjin Jenbacher INNIO di Malaysia.

 

Perjanjian itu akan membolehkan UIPS menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan untuk tujuh unit enjin biogas Jenbacher yang dipasang di tujuh kilang minyak sawit IOI Plantation Services Sdn Bhd di Lahad Datu dan Sandakan di Sabah.

 

Tujuh enjin biogas Jenbacher mempunyai kapasiti penjanaan kuasa sebanyak 5,523kW, yang akan digunakan untuk operasi di kilang, tempat tinggal serta kegunaan tambahan.

 

UMW berkata LTSA akan merangkumi dua kitaran hayat bagi tujuh enjin biogas serta penggantian blok enjin dan skop kerja tersebut termasuk perkhidmatan dan penyelenggaraan untuk enjin dalam tempoh 16 tahun.

 

Penyelenggaraan berjadual itu bertujuan untuk mencapai kapasiti optimum sebanyak 7,000 jam operasi setiap tahun.  - DagangNews.com