KUALA LUMPUR 20 Jun - UEM Sunrise Bhd akan melancarkan The Connaught One, pembangunan berorientasikan transit (TOD) pertamanya di Taman Connaught, Kuala Lumpur pada Sabtu ini.
Menurut satu kenyataan hari ini, UEM Sunrise berkata apartmen servis dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM747 juta itu dijangka siap pada suku terakhir 2027.
Katanya, apartmen tersebut terletak berdekatan dengan Stesen MRT Taman Connaught dan projek ini akan memberi penduduk akses mudah kepada pengangkutan awam, di samping pelbagai pilihan keluasan rumah untuk semua segmen pasaran.
Bermula daripada RM290,000, TOD pegangan bebas pertama UEM Sunrise itu meliputi 0.57 hektar dan terdiri daripada dua menara, setiap satu berketinggian 53 tingkat dengan jumlah 1,334 unit, di mana setiap tingkat mempunyai 9 hingga 16 unit, menawarkan lima jenis susun atur dengan keluasan bermula daripada 452 kaki sehingga 1,270 kaki.

Syarikat itu berkata susun atur ruangan adalah fleksibel dan boleh disesuaikan mengikut reka bentuk, memberi kebebasan kepada penduduk untuk mereka menyesuaikan rekaan dengan gaya hidup semasa mereka.
Tambahnya, unit jenis A dilengkapi dengan satu tempat letak kereta, jenis B dengan satu atau dua tempat letak kereta (tandem), manakala jenis C, D dan E datang dengan dua tempat letak kereta.
Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah berkata The Connaught One merupakan sebuah produk istimewa dengan konsep yang menggabungkan kemudahan akses dan integrasi dengan sistem pengangkutan awam.
Jelasnya, ia sesuai bagi memenuhi permintaan golongan profesional muda serta keluarga yang bekerja di bandar atau sekitarnya, serta melengkapi keperluan gaya hidup norma baharu, semuanya ditawarkan dengan harga yang berpatutan.

“Reka bentuk The Connaught One menekankan DNA produk kami yang melengkapi gaya hidup semasa serta masa hadapan pembeli rumah kami secara fleksibel.
“Oleh itu, kami teruja untuk melancarkan projek TOD pertama kami pada hujung minggu akan datang ini,” ujar beliau.
The Connaught One juga merupakan kediaman pertama dalam RISE Series di bawah siri produk Happy+, usaha UEM Sunrise untuk mengkategorikan produk kediaman masa depannya kepada segmen berdasarkan keperluan gaya hidup pelanggannya. -DagangNews.com








