KUALA LUMPUR 26 Okt - UEM Sunrise Berhad telah menjalin kerjasama dengan lima bank untuk memperkenalkan pelbagai rangkaian pembiayaan kewangan sebagai usaha mengatasi cabaran kewangan pembeli rumah.
Kemudahan tersebut melibatkan projek pembangunannya, termasuk yang baharu dilancarkan tahun ini seperti The MINH, The Connaught One, Residensi ZIG, Serene Heights Intrika, dan lain-lain.
Dalam satu kenyataan media hari ini, UEM Sunrise berkata kerjasama dengan Maybank, CIMB Bank, Affin Bank, AmBank dan Alliance Bank meringankan cabaran kewangan pembeli rumah, menyediakan peluang untuk mereka menerokai rumah idaman di samping memperoleh ganjaran dan mengakses pilihan pembiayaan kewangan bersesuaian dengan keperluan.
“Matlamat kami adalah untuk memperkasakan pembeli berpotensi dengan penjelasan dan akses segera, bagi membantu mereka mengenal pasti pelbagai rangkaian pembiayaan berdasarkan keperluan mereka,” kata Ketua Pegawai Pemasaran UEM Sunrise, Kenny Wong.
Diumumkan semasa Pameran Hartanah Happy Hunt kedua di Publika Shopping Gallery pada minggu lepas, UEM Sunrise berkata pembeli rumah boleh merebut pelbagai tawaran gadai janji untuk memiliki rumah sehingga 31 Disember 2023.
Antara kelebihan yang ditawarkan termasuk kadar faedah rendah bermula pada 3.85%, pilihan pembayaran balik fleksibel untuk simpanan jangka panjang, margin pinjaman tinggi sehingga 90% + 5%, kelulusan pantas, pilihan pinjaman lestari, pinjaman penuh fleksi tanpa had pembayaran balik, pengeluaran tunai ATM serta-merta, serta pelbagai lagi.
Tambahan pula, pembeli berpeluang memenangi hadiah menarik bernilai sehingga RM350,000 sebagai sebahagian daripada tawaran Kempen Happy Hunt.
Sejak dilancarkan pada Jun tahun ini, Happy Hunt telah mengumpul sejumlah 5,155 minat dengan anggaran RM145 juta nilai jualan.
Orang ramai masih berpeluang menikmati tawaran menarik ini dan menerokai projek yang mengambil bahagian di dalam kempen dengan berkunjung ke MAPEX 2023 di Mid Valley Megamall dari 27 hingga 29 Oktober 2023. - DagangNews.com








