KUALA LUMPUR 5 Jun - UEM Group Bhd menerusi UEM Lestra Bhd (UEM Lestra) memeterai perjanjian kerjasama dengan Blueleaf Energy dan ITRAMAS Corporation Sdn Bhd bagi membangunkan loji janakuasa solar hibrid 500-megawatt (500MW).
Ia merupakan projek kedua yang bakal dibangunkan oleh UEM Lestra dan rakan strategiknya sebagai sebahagian daripada inisiatif loji jana kuasa solar hibrid satu-gigawatt (1GW) di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) yang diumumkan oleh kerajaan pada Julai 2023.
UEM Lestra, menerusi kerjasama dengan Blueleaf Energy, sebuah syarikat portfolio di bawah Macquarie Asset Management dan ITRAMAS, telah mencatatkan kemajuan dalam pembangunan loji jana kuasa solar hibrid 1GW tersebut termasuk dalam mengenal pasti lokasi, perbincangan berhubung pembeli strategik dan pengkomersialan kerjasama ini, serta spesifikasi teknikal projek berkenaan.
Ketiga-tiga pihak itu akan bekerjasama dengan kerajaan dalam memperincikan rangka kerja akses pihak ketiga (TPA) yang diperlukan sebelum projek ini dapat dilaksanakan.
Susulan daripada kerjasama yang dimeterai pada Julai 2023, perjanjian-perjanjian berikut telah ditandatangani hari ini yang bakal menyaksikan ketiga-tiga syarikat ini berkerjasama membangunkan loji jana kuasa solar hibrid 500MW tersebut.
Perjanjian pemegang saham yang ditandatangani oleh UEM Lestra dan Blueleaf Energy, bagi menubuhkan sebuah syarikat usaha sama Lestra Blueleaf JV Sdn Bhd (Lestra Blueleaf JV), di mana 51% pegangan dimiliki oleh UEM Lestra dan baki 49% oleh Blueleaf Energy.
Ia juga adalah perjanjian kerjasama teknikal yang ditandatangani oleh Lestra Blueleaf JV dan ITRAMAS di mana ia bakal menyaksikan ITRAMAS menyediakan perkhidmatan teknikal dalam membangunkan satu pakej kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) yang lengkap.
Pengarah Urusan UEM Group dan Pengerusi UEM Lestra, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, pihaknya mencapai kata sepakat berhubung terma yang ditetapkan dan ia mencerminkan komitmen semua pihak yang terlibat dalam menjayakan usaha pembangunan loji jana kuasa solar hibrid 1GW ini.”
“Kerjasama itu akan memanfaatkan kepakaran strategik masing-masing bagi melengkapi satu sama lain dan menghasilkan momentum dalam memacu agenda peralihan tenaga di Malaysia.
"Tumpuan kita sekarang adalah ke arah mendapatkan persetujuan yang diperlukan daripada pihak berkuasa dan pada masa sama terus mendapatkan komitmen daripada syarikat-syarikat yang berpotensi untuk menjadi pembeli bekalan tenaga ini, di mana sehingga ini kita telah menerima maklum balas yang baik," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Blueleaf Energy, Raghuram Natarajan berkata, bersama inisiatif-inisiatif lain di bawah NETR, projek itu akan menambah baik aktiviti ekonomi hijau, membangunkan ekosistem rangkaian perbekalan tempatan dan melonjakkan Malaysia selaku peneraju usaha dekarbonisasi dan peralihan tenaga di ASEAN.
"Kami komited untuk terus menyumbang dalam membantu Malaysia mencapai sasaran tenaga boleh baharu dan mempercepatkan perjalanan ke arah sifar bersih," katanya. - DagangNews.com








