UEM Group meterai MoU dengan ITRAMAS dan 3 firma asing bangunkan loji jana kuasa solar fotovoltaik di Malaysia | DagangNews Skip to main content

UEM Group meterai MoU dengan ITRAMAS dan 3 firma asing bangunkan loji jana kuasa solar fotovoltaik di Malaysia

Pemeteraian MoU turut disaksikan oleh Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir; Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli; dan ; Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad; Pengarah Eksekutif ITRAMAS, Tunku Hammam Tunku Sulong
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 27 Julai – UEM Group Berhad telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk membangunkan loji jana kuasa solar fotovoltaik (PV) hibrid 1GW (gigawatt) (GW) bersepadu dengan Taman Perindustrian Tenaga Boleh Diperbaharui (RE) di Malaysia.

 

Anak syarikat Khazanah Nasional Berhad itu akan membangunkan projek tersebut menerusi kerjasama dengan ITRAMAS Corporation Sdn. Bhd. (ITRAMAS), yang terlibat dalam pembangunan loji jana kuasa solar, penyedia perkhidmatan dan EPCC (kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan) di Malaysia.

 

UEM Group dan ITRAMAS juga telah memeterai MoU dengan tiga firma asing iaitu Blueleaf Energy (Singapura), China Machinery Engineering Wuxi Co. Ltd. (CMECWUXI) dan HEXA Renewables (Amerika Syarikat).

 

Blueleaf Energy merupakan anak syarikat Macquarie Asset Management, manakala HEXA Renewables merupakan anak syarikat I Squared Capital dan CMECWUXI anak syarikat China Machinery Engineering Co. Ltd

 

“Pelabur projek ini sedang dalam perbincangan dengan UEM Group untuk mempertimbangkan penyertaan dalam projek berkenaan melalui beberapa peranan yang boleh dimainkan, seperti kerjasama dalam pembangunan projek, pembiayaan (termasuk pelaburan ekuiti) dan pengkomersialan (termasuklah pembelian tenaga elektrik hijau).

 

“ITRAMAS bersama CMECWUXI juga berhasrat untuk menjadi penyewa utama, serta pembeli awal tenaga elektrik hijau di Taman Perindustrian RE tersebut,” katanya.

 

UEM Group berkata Taman Perindustrian RE itu juga meletakkan sasaran bagi menarik syarikat pembuatan dan pembekal asing merentasi rantaian nilai RE serta kenderaan elektrik (EV), di samping syarikat berteknologi tinggi yang lain untuk beroperasi serta membangunkan kemudahan kajian dan penyelidikan (R&D) di sini.

 

Pengarah Urusan UEM Group, Datuk Mohd Izani, berkata projek tersebut merupakan sebahagian daripada projek peralihan tenaga utama negara yang bernilai tinggi dan strategik seperti digariskan di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Kebangsaan (NETR) yang dilancarkan oleh Menteri Ekonomi.

 

 

Datuk Mohd Izani,
Datuk Mohd Izani

 

 

“ITRAMAS, Blueleaf Energy, CMECWUXI dan HEXA Renewables bukan sahaja komited untuk melabur serta membangunkan aset tenaga boleh baharu Malaysia, tetapi turut menzahirkan komitmen memperkasa keupayaan kontraktor tempatan dalam industri RE, menyediakan peluang pekerjaan dan melaksanakan pemindahan pengetahuan.

 

“Kesemua ini selari dengan hasrat UEM Group untuk mencipta peluang pekerjaan berkualiti tinggi bagi rakyat Malaysia,” ujar beliau.  - DagangNews.com