UEM Edgenta dengan kerjasama PLUS bangunkan RAMS | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UEM Edgenta dengan kerjasama PLUS bangunkan RAMS

AZMAN ISMAIL (kiri) dan Syahrunizam Samsudin (dua dari kiri) semasa lawatan tapak bersama pihak pengurusan UEM Edgenta dan PLUS ke Bertam, Pulau Pinang, baru-baru ini. 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 31 Mac - Syarikat Pengurusan Aset dan Penyelesaian Infrastruktur, UEM Edgenta Berhad telah mengukuhkan jalinan kerjasama dengan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) untuk mengembangkan penyelesaian digital dalam operasi penyelenggaraan lebuh raya yang dibina. 

 

Dikenali sebagai Road Asset Management System (RAMS), sistem itu bertujuan mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan mereka sejajar dengan hasrat untuk menyokong aspirasi negara yang diumumkan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) baru-baru ini, jelas UEM Edgenta. 

 

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Syahrunizam Samsudin berkata, kelebihan utama sistem tersebut, bersama gabungan pengalaman dan pengkhususan mereka, membolehkan syarikat untuk membuat perancangan pengurusan aset jangka panjang dan mengekalkan masa kerja penyelenggaraan yang optimum di beberapa lokasi.

 

UEM Edgenta
LAWATAN tapak bersama pihak pengurusan UEM Edgenta dan PLUS ke Bertam, Pulau Pinang, baru-baru ini. 

 

“Melalui penggunaan teknologi terkini, kami telah membangunkan sebuah sistem yang dikenali sebagai RAMS, di mana ianya membolehkan kami merancang aktiviti penyelenggaraan jalan raya untuk jangka pendek dan jangka panjang, di samping mengutamakan tanggungjawab kami dalam menguruskan lebih daripada 1,000 kilometer aset lebuh raya bagi PLUS,” katanya semasa lawatan tapak bersama pihak pengurusan UEM Edgenta dan PLUS ke Bertam, Pulau Pinang, baru-baru ini. 

 

UEM Edgenta, menerusi anak syarikatnya di bahagian Infrastructure Solutions, Edgenta PROPEL Berhad, telah menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan lebuh raya kepada PLUS sejak tahun 1988. 

 

Sejak itu, syarikat telah melaksanakan pelbagai inisiatif teknologi berinovatif secara berterusan yang dapat meningkatkan tahap kecekapan operasi dan standard keselamatan untuk menjadi salah sebuah syarikat penyedia penyelenggaraan lebuh raya yang terkemuka di rantau ini. 

 

Penggunaan teknologi canggih seperti Internet of Things (IoT) dan pembelajaran mesin (machine learning) telah membolehkan UEM Edgenta menambah baik kualiti perkhidmatannya dan membuat analisis ramalan melalui data masa nyata yang berpusat di Command & Contact Centre (CnC) syarikat di ibu pejabatnya di Kuala Lumpur. 

 

Tambah UEM Edgenta, syarikat seterusnya akan memanfaatkan analisis ramalan untuk mengenal pasti potensi kerosakan dan menambah baik perkhidmatan penyelenggaraan secara berkala ke arah pengurusan aset yang lebih bijak. 

 

Sementara itu, oleh kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mengehadkan perjalanan rentas negeri di seluruh negara, serta penggunaan lebuh raya yang berkurangan, telah membolehkan PLUS dan UEM Edgenta mengambil inisiatif untuk melaksanakan aktiviti penambahbaikan yang berterusan dan kajian penanda aras baharu untuk meneroka serta menetapkan standard keselamatan dan operasi yang dipertingkatkan.

 

Antara pelan penambahbaikan yang diperkenalkan berikutan kajian yang dijalankan dari tahun 2019 hingga 2020 adalah memperkemas Perjanjian Tahap Perkhidmatan (Service Level Agreement SLA) antara Perjanjian Penyelenggaraan Induk PLUS dan standard tahap perkhidmatan M1 Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

 

Selain itu, penubuhan kit penyelenggaraan Desired Service Level penggabungan aktiviti-aktiviti penyelenggaraan; penilaian penggunaan aset sebagai ‘Traffic Light Concept' di samping merasionalisasikan tahap penggunaan peralatan dan barang habis pakai; serta kontrak berdasarkan output (output based contracting). 

 

Menurut Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail, rangkaian lebuh raya antara bandar mereka merupakan nadi penghubung utama negara, dan menyumbang kepada rangsangan pertumbuhan ekonomi, terutamanya ketika fasa pemulihan negara. 

 

UEM Edgenta
AZMAN ISMAIL (kiri) dan Syahrunizam Samsudin (kanan) semasa lawatan tapak bersama pihak pengurusan UEM Edgenta dan PLUS ke Bertam, Pulau Pinang, baru-baru ini. 

 

“Sebagai pihak yang bertanggungjawab menjaga aset ini, PLUS komited untuk terus menyampaikan perkhidmatan kepada pengguna lebuh raya bagi tujuan komersial mahupun santai,” katanya menerusi sebuah kenyataan semalam. 

 

Mengulas mengenai aspirasi yang diumumkan oleh KKR dalam pelancaran Pelan Organisasi Strategik, Azman mengharapkan kerjasama erat antara PLUS dan UEM Edgenta untuk mendukung salah satu aspirasi utama kementerian itu iaitu bagi ‘meningkatkan tadbir urus organisasi dalam memperkukuhkan kecekapan penyampaian perkhidmatan.’

 

“Rangkaian rakan perkhidmatan penyelenggaraan lebuh raya UEM Edgenta mempunyai lebih daripada 200 syarikat bumiputera yang berpengalaman dan berkebolehan yang telah berkembang secara mampan bersama PLUS selama lebih 30 tahun, dalam menyelenggara aset kami dan memastikan lebuh raya sentiasa berada dalam keadaan terbaik untuk kemudahan para pengguna kami. 

 

“Kami amat menghargai mereka sebagai pihak berkepentingan utama dalam rangkaian kami dan akan sentiasa memastikan kebajikan serta kesejahteraan mereka dijaga, terutama dalam tempoh peralihan pasca pandemik ini,” tambahnya.

 

Bagi UEM Edgenta, Syahrunizam berkata, syarikat juga berminat untuk memanfaatkan pangkalan pengetahuannya dan menyokong kerajaan, syarikat tempatan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang beroperasi dalam ekosistem pengurusan infrastruktur dan fasiliti.

 

Ini bagi merealisasikan satu lagi aspirasi yang diumumkan oleh KKR iaitu ‘untuk memperluaskan penggunaan teknologi digital dalam pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur.’ - DagangNews.com