UEM Edgenta dijangka terus berdepan tekanan kos, RHB Investment saran jual saham | DagangNews Skip to main content

UEM Edgenta dijangka terus berdepan tekanan kos, RHB Investment saran jual saham

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR  1 Mac - UEM Edgenta Berhad dijangka terus berdepan tekanan kos akibat peningkatan persaingan pasaran dalam bahagian rumusan hartanah dan kemudahan (PFS), serta tekanan inflasi kos terutamanya berkaitan buruh, kata RHB Investment.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kos kakitangan yang lebih tinggi dan kenaikan harga bahan mentah telah menyebabkan margin teras pada suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23) menguncup 2.8 mata peratusan tahun ke tahun kepada 0.5%.

 

“UEM Edgenta juga menanggung kos pembaikan dan penyelenggaraan yang dianggarkan RM3 juta hingga RM4 juta di bawah bahagian PFS. Pelaksanaan dasar gaji progresif juga boleh menimbulkan risiko negatif yang lebih teruk,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Firma itu berpendapat bahawa pelepasan kos kelihatan mencabar, memandangkan sebahagian besar buku pesanannya adalah berasaskan konsesi kira-kira 70% hingga 80%, manakala selebihnya adalah buku pesanan komersial dan keuntungannya tidak dijangka pulih ke tahap sebelum COVID-19.

 

Oleh itu, RHB Investment memotong unjuran pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan 2024 dan 2025 (FY24-25) sebanyak 52% hingga 58%, sementara taraf saranan diturunkan kepada ‘jual’ dengan harga sasaran (TP) 84 sen sesaham daripada RM1.04 sebelumnya.

 

Firma itu berkata sedemikian susulan laporan kewangan FY23 kumpulan semalam yang mencatat pendapatan teras RM32 juta yang meleset daripada anggaran tahun penuhnya dan konsensus masing-masing hanya sebanyak 57% dan 61%.

 

Menurut firma tersebut, hasil daripada bahagian sokongan penjagaan kesihatan (HS) adalah mendatar YoY manakala PFS melonjak 21% YoY, berkemungkinan disokong pengiktirafan kontrak yang sihat pada suku sebelumnya. 

 

Hasil bahagian penyelesaian infrastruktur (IS) pula meningkat 34% YoY dan 15% QoQ, hasil kerja-kerja turapan yang lebih tinggi untuk lebuh raya serta suku yang lebih kukuh mengikut musim. 

 

“Kumpulan itu memperoleh kontrak baharu bernilai RM2 bilion pada 2023 (2022: RM1.36 bilion). Buku pesanan tertunggaknya kini berjumlah RM9.3 bilion, yang boleh memberikan keterlihatan pendapatan selama 3.2 tahun berdasarkan anggaran kami,” tambahnya.


Setakat pukul 4:39 petang ini, saham UEM Edgenta aktif didagangkan dengan sejumlah 5.6 juta saham bertukar tangan yang menyebabkan ia jatuh 7.5 sen atau 7.6% kepada 91 sen, membentuk ‘candlestick’ Marubozu. - DagangNews.com