UEM Edgenta berdepan prospek mencabar ekoran persekitaran kos tinggi | DagangNews Skip to main content

UEM Edgenta berdepan prospek mencabar ekoran persekitaran kos tinggi

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 28 Nov - Pasaran kekal mencabar dengan persekitaran kos tinggi yang didorong oleh peningkatan kos bahan dan tenaga kerja, kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta Berhad, Syahrunizam Samsudin mengulas tentang prospek syarikat.

 

“Meskipun kami kekal berhati-hati untuk baki tahun ini, kami terus memacu kecekapan operasi dan mengoptimumkan struktur kos untuk menjadi organisasi ‘sesuai-untuk-tujuan’ bagi mendapat dan mengekalkan pelanggan di pasaran domestik dan antarabangsa.

 

"Melihat ke hadapan, untuk mengukuhkan kedudukan pasaran syarikat, kami secara aktif mengejar pelaburan organik dan bukan organik untuk mempercepatkan pertumbuhan serta merebut peluang yang muncul tepat pada masa, memastikan kelestarian jangka panjang dan penciptaan nilai untuk pemegang kepentingan," tambah beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

 

 

Syahrunizam Samsudin
Syahrunizam Samsudin

 

 

Bagi suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23), keuntungan bersih UEM Edgenta meningkat 18.9% kepada RM5.2 juta daripada RM4.4 juta pada tempoh sama tahun lalu.

 

Manakala hasilnya dalam suku semasa meningkat 11.6% kepada RM721.1 juta dipacu oleh pelaksanaan efektif dalam kontrak semasa oleh Bahagian Sokongan Penjagaan Kesihatan di Singapura dan Taiwan, dan Rumusan Hartanah dan Kemudahan (PFS) serta peningkatan kerja turapan yang dilakukan untuk lebuh raya oleh Perkhidmatan Infrastruktur.

 

Pada akhir 30 September 2023, penyata imbangan syarikat pengurusan aset dan penyelesaian infrastruktur tersebut menunjukkan aset bersih bernilai RM1.94 sesaham; tunai dan baki bank sebanyak RM650.3 juta dan nisbah penggearan sebanyak 0.31 kali.

 

Dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23), UEM Edgenta mencatat peningkatan 16.2% dalam keuntungan bersih kepada RM28.6 juta dengan hasil yang lebih tinggi sebanyak RM2.07 bilion berbanding RM1.81 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Ini adalah berikutan daya tahan dan keupayaan untuk memperbaharui dan memperoleh kontrak baharu dari pelanggan sedia ada serta pelanggan baharu dan pasaran pertumbuhan.

 

Pada 9MFY23, kumpulan itu memperoleh kontrak baharu berjumlah RM1.6 bilion, sekali gus mencapai sasaran tahun penuh FY23 syarikat dalam tempoh itu.

 

Syarikat itu berkata ia sedang mengekalkan pembaharuan kontrak yang kukuh dan juga mendapat kontrak baharu dalam pasaran sedia ada, iaitu Malaysia, Singapura, Taiwan, Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu.

 

Penyepaduan dengan anak syarikat baharu di Kerajaan Arab Saudi, MEEM For Facilities Management Company, berada di landasan yang baik bagi UEM Edgenta mengejar peluang pertumbuhan di KSA.  - DagangNews.com