UDA sasar lancar fasa pertama pembangunan Neu Pendington dengan GDV RM496 juta di Sarawak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UDA sasar lancar fasa pertama pembangunan Neu Pendington dengan GDV RM496 juta di Sarawak

Datuk Mohd Salem Kailany (kiri) bersama Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Hartanah Kumpulan UDA, Noor Azmi Salleh (tengah) dan Ketua Pegawai Operasi UDA Land Sarawak Sdn Bhd, Mustafa Abdullah melihat model apartment servis Neu Pendington pada Majlis Ramah Tamah Gawai Raya 2023 di Kuching, Sarawak pada 22 Mei 2023.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 Mei - UDA Holdings Bhd (UDA) menyasarkan pelancaran apartment servis dan ruang niaga fasa pertama pembangunan Neu Pendington pada awal tahun hadapan.

 

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Sr Mohd. Salem Kailany berkata, pihaknya sentiasa optimis memacu pembangunan hartanah serta meningkatkan urbanisasi dalam membentuk komuniti inklusif. 

 

Seiring dengan perkembangan dalam perniagaan katanya, UDA mengambil langkah proaktif melebarkan sayap ke Sarawak dalam usaha menggalakkan pemilikan hartanah seterusnya merancakkan lagi ekonomi setempat.

 

“Bagi menzahirkan hasrat tersebut, UDA komited menggiatkan pelaksanaan pembangunan Neu Pendington yang mana projek apartment servis dan ruang niaga fasa pertama itu telahpun mendapat kelulusan merancang dan kejuruteraan (AVTC) daripada Pihak Berkuasa Perancang Negeri.

 

"Manakala kerja tanah serta Infrastruktur bakal bermula pada akhir Mei ini," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Ramah Tamah Gawai Raya 2023 yang berlangsung di Kuching, Sarawak hari ini.

 

Tambah Mohd. Salem, pihaknya menyasarkan jualan 30% unit apartment servis dan ruang niaga fasa pertama tersebut pada tahun hadapan. 

 

Setakat hari ini, pendaftaran bagi unit kediaman tersebut telah dibuka dan menerima sambutan yang menggalakkan khususnya daripada warga tempatan.

 

 

uda

 

 

Apartment servis Neu Pendington menawarkan pelbagai kemudahan seperti kolam renang, kolam mandi kanak-kanak, jakuzi, gimnasium, trek joging, ruang dobi, tandas, bilik persalinan dan taman di atas bangunan.

 

Selain itu, ia terletak di lokasi strategik berdekatan kawasan industri Pending Heights dengan akses mudah iaitu 5 kilometer (km) dari bandar Kuching, 2 km dari Borneo Convention Centre Kuching, 10 km dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan 24 km dari Kota Samarahan.

 

Pembangunan bersepadu Neu Pendington dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM496 juta itu dibangunkan hasil usaha sama UDA dengan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) selaku pemilik tanah. 

 

 

uda

 

 

Ia merangkumi pembinaan 594 unit apartment (2 menara apartment servis 25 tingkat dengan 3 jenis keluasan), 262 unit kedai pejabat berstrata (3 jenis iaitu 2, 4, & 6 tingkat) dan sebuah hotel 12 tingkat (200 bilik). 

 

Projek yang terletak di Lot 9561, Seksyen 64, Kuching Town Land District, Jalan Datuk Marican Salleh, Kuching itu dijangka siap sepenuhnya pada 2029 yang mana fasa pertama akan siap 2026 dan fasa kedua pada 2027. 

 

Pembangunan itu juga dijangka dapat memanfaatkan penempatan stesen Transit Aliran Automasi (ART) Sarawak Metro, anak syarikat milik penuh SEDC, bagi pengangkutan awam yang moden dan efisien. - DagangNews.com