KUALA LUMPUR 28 Jun - Universiti UCSI mengekalkan statusnya sebagai salah satu universiti swasta terbaik Asia dalam QS World University Rankings 2024.
Berada di kedudukan 300 dalam ranking tahunan yang kompetitif, UCSI dikategorikan di dalam kelompok 1% terbaik dunia untuk tahun kedua berturut-turut.
Kedudukan baharu ini diumumkan selepas QS memperkenalkan tiga metrik baharu, termasuk kelestarian, kebolehpasaran graduan dan rangkaian penyelidikan antarabangsa, selain melaraskan kembali ukuran indikator kedudukan sedia ada.
Naib Canselor UCSI, Prof Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir berkata, universiti tersebut mencapai prestasi yang agak baik sejajar dengan perubahan yang diperkenalkan dalam penilaian kedudukan.
Katanya, pelarasan kepada metodologi kedudukan baharu bukanlah mudah kerana ia melibatkan banyak set data dan peralihan ukuran indikator.
"Kami akan menyesuaikan diri dengan sewajarnya dan terus berusaha memperbaiki kedudukan kami.
"Kami digalakkan untuk berada di dalam kelompok 1% terbaik dunia untuk dua tahun berturut-turut dan kami akan bekerja dengan lebih keras lagi untuk menambahbaik kadar kebolehpasaran graduan, pengalaman pengajian pelajar dan kepimpinan pemikiran," katanya dalam kenyataan media di sini.

Kedudukan terkini terus mempamerkan prestasi kukuh UCSI di dalam kedudukan global. Ia menandakan peningkatan sebanyak 181 tempat sejak UCSI menduduki tempat pertama dalam edisi 2019.
Ia didorong oleh prestasi kukuh UCSI di dalam QS World University Rankings mengikut Subjek 2023 apabila UCSI mencatatkan peningkatan keseluruhan sebanyak 50%, menduduki tempat ke-21 dan ke-34 di peringkat global untuk muzik dan hospitaliti. - DagangNews.com








