UCrest tingkatkan pendigitalan di rangkaian klinik gigi MDC Asia Link | DagangNews Skip to main content

UCrest tingkatkan pendigitalan di rangkaian klinik gigi MDC Asia Link

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 3 April - UCrest Berhad menandatangani perjanjian perkongsian perniagaan (BPA) dengan MDC Asia Link Berhad (MDC) bagi meningkatkan standard penjagaan di rangkaian klinik gigi MDC menerusi pendigitalan dan teknologi kecerdasan buatan (AI).

 

Perjanjian tersebut turut melibatkan penggunaan Internet of Medical Things (IoMT) bersama platform iMedic yang dibangunkan UCrest. 

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini, UCrest berkata, perkongsian ini juga bertujuan menyediakan pesakit dengan tahap penjagaan tertinggi yang mana MDC akan mengguna pakai platform iMedic sebagai Sistem Pengurusan Klinik (CMS).

 

"Tempoh perjanjian adalah selama 5 tahun dengan tarikh permulaan BPA adalah pada 3 April 2024 manakala tarikh luput pula, 2 April 2029. Selepas tamat tempoh, BPA akan secara automatik diperbaharui setiap tahun," katanya.

 

Asas bagi menentukan pembayaran kepada UCrest adalah berdasarkan nilai produk dan perkhidmatan setiap transaksi, kata pemakluman itu.

 

"BPA dijangka tidak mempunyai kesan material ke atas pendapatan sesaham, aset bersih sesaham dan penggearan Syarikat untuk tahun kewangan berakhir 31 Mei 2024," jelasnya.

 

Menurut UCrest, MDC mempunyai 25 klinik gigi dengan sebahagian besarnya di Lembah Klang dan kini merupakan salah satu rangkaian klinik pergigian terbesar di negara ini dengan tumpuan kepada penjagaan pergigian pediatrik di samping pergigian am dan ortodontik.

 

"Menerusi platform iMedic, doktor gigi dan perunding kesihatan akan dapat membangunkan pelan kesihatan pergigian mengikut individu untuk setiap pelanggan dan mengurus serta memberi perkhidmatan kepada pelanggan secara proaktif. 

 

"Teknologi AI akan dapat mendiagnosis dengan ketepatan yang tinggi dan meramalkan perkembangan penyakit pergigian pesakit sekali gus membenarkan langkah pencegahan awal yang perlu diambil," jelasnya.

 

Di bawah perjanjian ini, MDC akan mengguna pakai platform iMedic sebagai CMS kerana penjagaan pergigian adalah proses sepanjang hayat yang memerlukan pengurusan yang prihatin sepanjang masa.  - DagangNews.com