KUALA LUMPUR 15 Julai - U Mobile dan FGV Prodata Systems Sdn. Bhd memeterai memorandum kerjasama (MoC) bertujuan memanfaatkan teknologi dan rangkaian 5G syarikat telekomunikasi itu bagi meningkatkan keterhubungan dan infrastruktur digital Kumpulan FGV.
Kerjasama ini menyaksikan prasarana U Mobile yang berkeupayaan 5G menyokong penyelesaian perusahaan termaju seperti perkhidmatan rangkaian terurus untuk operasi Kumpulan FGV termasuk di cawangan, ladang, loji, kilang, stesen pengumpul dan operasi di ibu pejabat.
MoC ini turut menyaksikan kedua-dua pihak bersama-sama menggunakan platform dan penyelesaian digital seperti pertanian pintar, bangunan pintar dan pemantauan pintar yang membolehkan Kumpulan FGV memanfaatkan kelebihan automasi dan pendigitalan termasuk peningkatan kecekapan dan penjimatan kos operasi.
Kedua-dua pihak turut komited menawarkan program latihan menerusi MoC ini bagi meningkatkan kemahiran para pekerja dan rakan perniagaan dalam teknologi dan alat digital baharu bagi memaksimumkan potensi inisiatif transformasi digital.
Perjanjian MoC ini telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Perkhidmatan Korporat U Mobile, Norfazidah Abu Bakar dan Pengarah Bahagian Kumpulan, Logistik & Perniagaan Sokongan Kumpulan FGV Holdings, Fakrunniam Othman semasa Hari Peneroka Felda 2024.
Ia telah disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile, Wong Heang Tuck dan Nor Marhamah Yahya, Penasihat Undang-undang Kumpulan FGV Holdings.
Norfazidah berkata, pihaknya gembira dengan keputusan FGV Prodata memilih U Mobile bagi memanfaatkan 5G untuk memperkasakan transformasi digital di seluruh kumpulan FGV serta pangkalan pelanggannya yang luas.
"Kami berharap agar dapat bekerjasama dengan Kumpulan FGV untuk membangun dan melancarkan teknologi inovatif yang akan membawa automasi dan kecekapan yang lebih tinggi kepada operasi harian mereka.
"Kami juga berdedikasi untuk memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan yang inklusif secara digital dengan FGV,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Nazrul Mansor berkata, dengan memanfaatkan infrastruktur rangkaian U Mobile, FGV melalui FGV Prodata Systems akan mempertingkatkan perkhidmatan ICT-nya dengan internet berkelajuan tinggi, penyelesaian rangkaian yang boleh diharap dan saluran komunikasi dipertingkatkan.
"Kerjasama ini juga akan mengutamakan pembangunan dan pengurusan infrastruktur digital termaju yang amat penting bagi menyokong inisiatif transformasi digital perniagaan untuk FGV.
"Ini akan membolehkan FGV mengekalkan kepimpinannya dalam industri kelapa sawit global sambil menyumbang secara positif kepada matlamat pembangunan sosial dan ekonomi Malaysia”, katanya.
Sempena kerjasama ini, U Mobile turut menyertai Hari Peneroka FELDA 2024 tahun ini dengan membawa pengalaman yang tiada tandingan seperti permainan VR dengan 5G dan perlawanan bola sepak secara langsung untuk menambah kemeriahan acara tersebut. - DagangNews.com








