Tunku Kamariah gesa pemegang saham KNM keluar mengundi semasa EGM bagi selamatkan kumpulan itu | DagangNews Skip to main content

Tunku Kamariah gesa pemegang saham KNM keluar mengundi semasa EGM bagi selamatkan kumpulan itu

Tunku Kamariah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Okt - Tunku Kamariah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar menggesa pemegang saham KNM Group Berhad untuk mengundi pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) kumpulan itu pada 16 Oktober ini bagi melindungi hak mengundi mereka dan menyelamatkan syarikat itu.

 

Beliau mengesyorkan agar pemegang saham KNM menunaikan tanggungjawab mereka bagi mengelakkan sebarang kemungkinan tuntutan mahkamah dan sebarang keputusan yang tidak diingini untuk kumpulan itu.

 

Tunku Kamariah juga membidas kenyataan yang memihak kepada ahli lembaga pengarah semasa (Lembaga Pengarah Tunku Datuk Yaacon Khyra) kerana beliau berhasrat untuk membentuk lembaga pengarah baharu bagai mengeluarkan syarikat daripada status Nota Amalan 17 (PN17). 

 

Beliau percaya bahawapengarah semasa KNM kekurangan sumber yang diperlukan bagi melaksanakan pemulihan syarikat dan ia diakui oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan Prngarah Urusan kumpulan itu, Ravindrasingham Balasingham dalam satu kenyataan rasmi pada 8 September lalu. 

 

"Sesiapa sahaja boleh menjual aset syarikat pada harga yang tertentu tetapi itu bukan untuk kepentingan terbaik pemegang saham yang akan mengundi pada Isnin hadapan. Sudah tentu alternatif terbaik adalah mendapatkan sambungan serta suntikan wang baharu bagi tujuan pemulihan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

EGM itu mencadangkan pelantikan Tunku Kamariah, Andreas Heeschen, Edwin Silvester Das, Datuk Zaidi Mat Isa, William H Van Vliet III, Flavio Porro, dan Datuk Abd Ghani Yusof sebagai pengarah baharu.

 

BACA JUGA: Anak Taib Mahmud, Abu Bekir muncul sebagai pemegang saham utama KNM menjelang EGM 16 Oktober 2023

 

Tunku Kamariah menekankan keyakinan terhadap kecakapan pengarah baharu yang dipilih sendiri bagi mengemudi KNM keluar dari status PN17 selain menggariskan visi lima tahun termasuk suntikan modal baharu, perolehan aset baharu bagi meningkatkan kapasiti semasa Borsig.

 

“Kami mempunyai sumber domestik dan Eropah untuk membantu KNM menyelesaikan pembayaran balik hutang. Mungkin, penghijrahan hutang dalam kira-kira 160 juta Euro melalui pinjaman penyambung & terbitan bon khas.

 

"Kami mempunyai sumber bagi mengumpul modal sekitar RM400 juta melalui latihan korporat yang sesuai,” katanya.

 

Beliau menjelaskan bahawa EGM bukanlah pertandingan Jerman menetang Malaysia seperti yang digambarkan kerana majoriti ahli lembaga pengarah yang dicadangkan dari pihaknya jelas adalah rakyat Malaysia. Sebaliknya, ia adalah mengenai usaha kerjasama antara kedua-dua negara bagi menyelamatkan kumpulan itu.

 

Tunku Kamariah juga menasihatkan lembaga pengarah semasa untuk menghentikan semua kenyataan palsu mengenai pengarah yang dicadangkan semasa EGM.

 

“Semua kenyataan memfitnah oleh laman web tertentu mengenai cadangan pengarah semasa EGM adalah tidak berasas dan perlu dihentikan. 

 

BACA JUGA:MAA Group sokong lembaga pengarah KNM dikekalkan, bantah lantikan baharu dalam EGM pada 16 Oktober

 

"Tiada tangan ghaib di sebalik EGM ini. Kempen fitnah oleh laman web yang sama di Datuk Seri Teh Chee Teong sebagai mafia korporat Malaysia sememangnya bersifat kebudak-budakan. Beliau adalah rakan dan ahli perniagaan, yang mempunyai pengalaman luas dalam korporat Malaysia,” katanya.

 

Sementara itu, Tunku Kamariah juga mengalu-alukan Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib untuk mengundi dalam EGM dan membantu dalam mengeluarkan KNM daripada PN17. 

 

Semalam, Mahmud yang merupakan anak kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud, muncul sebagai pemegang saham besar KNM selepas memperoleh 203.47 juta saham atau 5.03% kepentingan dalam syarikat itu. - DagangNews.com