MAA Group sokong lembaga pengarah KNM dikekalkan, bantah lantikan baharu dalam EGM pada 16 Oktober | DagangNews Skip to main content

MAA Group sokong lembaga pengarah KNM dikekalkan, bantah lantikan baharu dalam EGM pada 16 Oktober

Bilionair Jerman, Andreas Heeschen merupakan pemegang saham besar baharu KNM dengan 7.91% kepentingan, yang ingin menyingkirkan lembaga pengarah KNM, di mana Pengerusinya adalah Tunku Datuk Yaacob Khyra yang memiliki 9.44% kepentingan tidak langsung dalam syarikat itu.

KUALA LUMPUR 9 Okt - MAA Group Bhd, yang memegang 8.55% pegangan ekuiti dalam syarikat berstatus Nota Amalan 17 (PN17), KNM Group Bhd, berhasrat mengundi untuk menyokong kumpulan itu mengekalkan pengarah-pengarahnya dan menentang pelantikan calon baharu dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang dijadualkan pada 16 Oktober.

 

"MAA akan mengundi untuk mengekalkan lembaga pengarah KNM dan akan mengundi menentang pelantikan calon yang dicadangkan," kata MAA dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Sementara itu, MAA berkata ia akan mengekalkan Ravindrasingham Balasingham, lebih dikenali sebagai Ravi, sebagai Pengarah Eksekutif KNM dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan.

 

“Dalam tempoh 11 bulan sejak menerajui KNM, syarikat telah memperoleh keyakinan dan sokongan pemiutang bagi memastikan mesyuarat pemiutang yang bakal diadakan oleh mahkamah mendapat sokongan mencukupi untuk skim pengaturan (SOA) yang akan diterima pakai,” katanya.

 

MAA menyuarakan kebimbangan terhadap dua calon yang dicadangkan – Flavio Porro dan William Van Vliet II – yang sebelum ini menganggotai lembaga pengarah KNM ketika kumpulan kumpulan kejuruteraan minyak dan gas tersebut mengalami masalah kewangan.

 

“Kami juga menekankan bahawa Porro, seorang peguam bertauliah Itali, adalah satu daripada dua Pengarah Eksekutif KNM, ketika kegagalan pembayaran hutang bon Thailand KNM berjumlah 2.78 bilion baht (RM354 juta) pada 18 November 2021.

 

"Pengarah Eksekutif harus bertanggungjawab sepenuhnya atas ketidakupayaan mereka untuk mengurus syarikat di bawah tanggungjawab mereka dan memikul tanggungjawab fidusiari untuk sentiasa bertindak demi kepentingan terbaik syarikat," katanya.

 

Pengerusi KNM Tunku Datuk Yaacob Khyra, yang juga merupakan Pengerusi Eksekutif MAA Group, mempunyai 9.44% pegangan tidak langsung dalam KNM yang ingin disingkirkan oleh pemegang saham besar baharu, bilionair Jerman Andreas Heeschen dan sekumpulan pemegang saham KNM.

 

 

 

BACA JUGA: Kumpulan pemegang saham diketuai bilionair Jerman mulakan usaha menyingkirkan pengarah KNM

 

 

Di samping itu, MAA turut membangkitkan kebimbangan terhadap pencalonan Heeschen ke lembaga pengarah KNM, kerana beliau kini pemegang saham utama Heckler & Koch, pengeluar senjata api dan senjata terkenal sejak 2002, yang didakwa mempunyai sejarah penuh kontroversi.

 

“Kami bimbang bahawa Heckler & Koch yang dituduh pada 2010 disebabkan rasuah kepada ahli-ahli Bundestag Parlimen Jerman, khususnya ahli-ahli dari Kesatuan Demokratik Kristian yang konservatif Angela Merkel dan bekas rakan gabungannya Parti Demokratik Bebas.

 

“Sogokan itu adalah berhubung memastikan kerajaan meluluskan penjualan senjata api kepada Mexico. Peningkatan rasuah dalam pasukan keselamatan di Mexico dan perang berterusan dengan kartel dadah pada masa itu menyebabkan kerajaan Jerman bersikap dingin untuk menjual senjata kepada negara itu,” jelasnya.

 

Pengurusan semasa KNM dijadualkan untuk mengadakan pertemuan dengan pemiutangnya mengenai SOA pada 12 Oktober dan MAA berpendapat bahawa sebarang perubahan dalam pengurusan semasa akan mengganggu dan berpotensi memusnahkan lagi nilai pemegang saham dan pemiutang KNM.

 

 

BACA JUGA: KNM adakan mesyuarat pemiutang pada 12 Oktober ini, menjelang EGM putuskan bidaan pengambilalihan

 

 

“Sebagai pemegang saham KNM, kami amat percaya bahawa lembaga pengarah KNM ketika ini harus dikekalkan. Kami yakin pengurusan dan lembaga pengarah semasa akan dapat mengubah syarikat melalui hubungan kukuhnya dengan pemiutang, kakitangan dan pelanggan," tambahnya.

 

Heeschen dalam sidang akhbar Jumaat lalu mendedahkan bahawa kumpulannya merancang untuk membayar balik hutang KNM bernilai RM1.2 bilion kepada pemiutang dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang kerana mereka telah mengenal pasti rakan kongsi perniagaan di Eropah yang ingin menyediakan kewangan jangka panjang kepada KNM untuk menggantikan hutang sedia ada.

 

Difahamkan bahawa sebahagian besar daripada RM1.2 bilion itu adalah daripada Jaminan Kredit dan Kemudahan Pelaburan (CFID) di bawah Asian Development Bank dan Danos Ltd.

 

Pada pukul 4:39 petang ini, saham KNM telah jatuh 3 sen atau 17.7% kepada 14 sen dengan permodalan pasaran sebanyak RM566.4 juta, manakala saham MAA tidak berubah pada 34 sen, dengan permodalan pasaran RM89.7 juta. - DagangNews.com