Tunku Besar Tampin Ke-7 dilantik anggotai lembaga pengarah Pertama Digital | DagangNews Skip to main content

Tunku Besar Tampin Ke-7 dilantik anggotai lembaga pengarah Pertama Digital

Tunku Syed Razman ibni Tunku Syed Idrus Al-Qadri berpakaian istiadat baju Melayu di satu majlis rasmi di Negeri Sembilan. - Gambar Tunku Syed Razman Environmental Foundation
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 15 Okt -  Pertama Digital Berhad melantik Tunku Syed Razman ibni Tunku Syed Idrus Al-Qadri iaitu Tunku Besar Tampin Ke-7, Negeri Sembilan sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Lembaga Pengarah Pertama Digital.

 

Tunku Syed Razman turut terbabit secara aktif dalam perniagaan di mana beliau merupakan Pengerusi dan pemegang saham pelbagai syarikat termasuk Greater Tampin Auto Sdn Bhd (pengedar kereta Honda), Usaha Maju Auto Sdn Bhd (pengedar kereta nasional kedua negara) dan Citra Majujaya Sdn Bhd, pemaju hartanah di Negeri Sembilan.

 

Beliau juga merupakan Pengerusi Majlis Perniagaan Malaysia-Arab Saudi (MSBC) sejak tahun 2017.

 

Selain itu, Tunku Syed Razman adalah Pengerusi Gembox Holdings Sdn Bhd, sebuah syarikat yang memiliki rangkaian perniagaan dalam hab pelancongan baharu di Vision City, Nilai, Negeri Sembilan. 

 

Beliau juga merupakan Pengerusi MediScan Laboratory Sdn Bhd, sebuah syarikat diagnostik perubatan yang menawarkan rangkaian perkhidmatan makmal komprehensif termasuk biokimia, hematologi, imunologi dan urinalisis kepada pengamal perubahan swasta, hospital serta organisasi penjagaan kesihatan lain di Lembah Klang dan negeri di selatan Semenanjung Malaysia.

 

Beliau dilantik sebagai Kolonel Kehormat Askar Wataniah Malaysia (Wataniah) pada tahun 2020 dan juga Penaung Diraja Kolej Islam Antarabangsa (anak syarikat UIAM) dan Penaung Yayasan Tunku Besar Tampin, selain turut menjadi Penaung Diraja Kelab Rotari Tampin, Daerah 3300.  

 

Pengerusi Pertama Digital, Tun Zaki Tun Azmi berkata, syarikat mengalu-alukan kehadiran Tunku Syed Razman ke dalam Lembaga Pengarah dan pihaknya mengharapkan beliau dapat berkongsi pengalaman luasnya untuk dimanfaatkan oleh Pertama Digital.


 

Saify Akhtar
                                       Saify Akhtar

 


Sementara itu, Saify Akhtar, Pengarah Strategi Pertama Digital berkata, sebagai Pengerusi Majlis Perniagaan Malaysia-Arab Saudi (MSBC), pihaknya berharap dapat menembusi pasaran Timur Tengah menerusi penawaran penyelesaian digital syarikat ini dan merentasi rantau ini.

 

"Kami menjangkakan dapat berkembang lebih meluas di seluruh dunia selepas kami secara aktif merancang dan mengembangkan jangkauan kami,” ujarnya. - DagangNews.com