Tujuh negeri lepasi kadar kapasiti penggunaan pembuatan pada 2Q24 - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tujuh negeri lepasi kadar kapasiti penggunaan pembuatan pada 2Q24 - DOSM

Industri pembuatan Malaysia beroperasi pada 82.1% 2Q24. Gambar usertrmk Freeik

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Sebanyak tujuh negeri melepasi kadar kapasiti penggunaan industri pembuatan nasional pada suku kedua 2024, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Penggunaan kapasiti industri pembuatan negara meningkat sebanyak 3.8 mata peratus tahun ke tahun kepada 82.1% pada suku tersebut daripada 78.3 peratus pada suku kedua 2023.

 

Jelas DOSM, tujuh negeri berkenaan ialah Labuan (94.3%), Terengganu (84.8%), Pahang (84.7%), Selangor (84.6%), Negeri Sembilan (84.4%), Melaka (83.5%) dan Johor (83.3%).

 

"Selain itu, hampir semua negeri mencatatkan peningkatan tahun ke tahun dalam kadar penggunaan kapasiti, kecuali Terengganu dan Kelantan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

dosm2

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pada suku kedua 2024 (2Q24), semua subsektor mencatatkan penggunaan kapasiti melebihi 80%.

 

Kata beliau, kadar tertinggi dicatatkan oleh subsektor kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (86.0%); diikuti dengan produk tekstil, pakaian, kulit dan kasut (82.8%) dan produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (82.3%).

 

"Berbanding suku tahun sebelumnya, kapasiti penggunaan industri pembuatan meningkat 1.3 mata peratus berbanding suku pertama 2024 sebanyak 80.8%.

 

"Kadar kapasiti penggunaan yang lebih tinggi turut digambarkan dalam peningkatan Indeks pengeluaran perindustrian bagi industri pembuatan sebanyak 4.9% berbanding setahun lalu," katanya.

 

uzir
DR MOHD UZIR MAHIDIN. -Gambar DOSM

 

Menurut Dr Mohd Uzir, penggunaan kapasiti dalam industri berorientasikan eksport meningkat 3.9 mata kepada 81.3% pada suku kedua 2024 daripada 77.4% pada suku kedua 2023, manakala penggunaan kapasiti dalam industri berorientasikan domestik juga meningkat sebanyak 3.4 mata
peratus kepada 83.7% pada suku kedua 2024.

 

Jelas beliau,  permintaan yang rendah, kekurangan bahan, dan penyelenggaraan mesin dan peralatan yang berterusan adalah faktor utama yang mempengaruhi penggunaan kapasiti dalam industri pembuatan. - DagangNews.com