KUALA LUMPUR 19 Mei - Tuju Setia Berhad, yang membuat penampilan sulung di pasaran utama Bursa Malaysia hari ini berharap dapat meraih lebih banyak projek bagi tahun kewangan berakhir 2021.
Syarikat perkhidmatan pembinan itu setakat ini telah memperoleh 4 kontrak baharu bernilai RM587.1 juta dan mempunyai nilai projek semasa berjumlah RM1.14 bilion.
Pengarah urusan Tuju Setia, Wee Eng Kong berkata, projek yang baru diperoleh syarikat setakat ini mencerminkan pemulihan pesat dalam aktiviti pembinaan dan pemaju hartanah dalam memenuhi permintaan pasaran.
Katanya, pada nilai projek semasa yang diperoleh syarikat ia membuktikan kedudukan kukuh syarikat dalam industri pembinaan keyakinan pelanggan terhadap keupayaan mereka sebagai syarikat pembinaan yang berkredibiliti.
"Pada masa depan, kami berhasrat untuk mengekalkan pertumbuhan ini dengan memperkukuhkan kepakaran teknikal dan kualiti dalam pembinaan bangunan tinggi.
"Ini termasuklah reka bentuk dan pembinaan hospital serta kemudahan penjagaan kesihatan. Kami berhasrat untuk terus mengembangkan buku tender semasa sebanyak RM3.8 bilion untuk mengekalkan momentum ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menerusi penyenaraiannya di Bursa Malaysia, Tuju Setia memulakan dagangan pertama dengan tawaran harga permulaan (IPO) pada 77.5 sen, mencatat premium 10.7% berbanding harga terbitan 70 sen sesaham dengan 4 juta saham.
Ia mencapai setinggi 87.5 sen sesaham dalam tempoh 5 minit memulakan dagangan.
Tuju Setia menjana sebanyak RM56 juta menerusi IPO yang akan digunakan untuk memperkukuhkan kepakaran teknikal dan kualiti pembinaan bangunan tinggi.
Sebanyak RM32 juta diperuntukkan sebagai perbelanjaan modal yang akan digunakan untuk memberi peralatan dan jentera pembinaan yang baru, manakala RM19 juta digunakan sebagai modal kerja dan baki RM5 juta untuk membiayai perbelanjaan penyenaraian.
Antara projek Tuju Setia yang sedang berjalan ketika ini termasuklah Mutiara Central Office Suites di Cheras; fasa kedua Riana Dutamas (Segambut); The Pulse Residence (Bandar Puteri Puchong); PPAM Sofiya Residensi (Desa ParkCity), fasa 3 dan 4 Emerald Hills (Cheras), TUAI Residence (Setia Alam), 121 Residences (Petaling Jaya), One Equine (Seri Kembangan) dan Hospital Wanita dan Kanak-kanak Kajang. - DagangNews.com








