KUALA LUMPUR 2 Nov - Troopers, peneraju dalam rumusan kakitangan acara, mengumumkan kerjasama strategik yang bakal mendefinisi semula proses penyediaan kakitangan dalam industri acara.
Kerjasama itu menggabungkan Troopers dengan empat penganjur acara terkemuka, iaitu LOL Asia, Shiraz Projects, Fresh Events Asia, dan Hitman Solutions.
Gabungan sinergistik itu bukan hanya bertujuan menyelaraskan operasi acara tetapi juga memberi penekanan yang kuat kepada kesejahteraan dan pengiktirafan tenaga kerja pasukan yang memainkan peranan penting dalam menjayakan sesebuah acara.
Ketua Pegawai Operasi Troopers, Craig Goonting berkata, ia merupakan satu penghormatan untuk bekerjasama dengan organisasi yang berkongsi visi yang serupa dalam menjaga kesejahteraan pekerja sambilan.
"Apa yang penting adalah keperluan mendesak untuk memastikan pekerja gig mendapat pampasan dan perlindungan yang baik. Kami akan berusaha dengan gigih untuk menyediakan rumusan terbaik kepada semua rakan kongsi dan pengguna kami," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Troopers adalah platform padanan pekerjaan yang sedang berkembang yang komited untuk membuat perubahan positif dalam landskap ekonomi gig.
Pihaknya juga menjalin kerjasama strategik dengan keempat-empat penganjur terbabit untuk menyediakan peluang pekerjaan sementara dengan kesemua rakan kongsi ini di platformnya.

Platform tersebut menawarkan sumber pengambilan pekerja yang mudah dan berpusat di samping memastikan kesejahteraan yang lebih baik untuk pekerja gig dengan rekod penglibatan dan skop kerja yang jelas serta gaji yang telus.
Ia melambangkan kesungguhan bersama untuk memberi keutamaan kepada kesejahteraan pekerja gig dan menyediakan persekitaran kerja yang menyokong dan adil kepada mereka.
Pengambilan pekerja gig dalam industri acara yang dinamik sering dijalankan secara tidak formal dan ad-hoc.
Melalui kerjasama itu, Troopers dan rakan-rakan kongsinya akan menetapkan standard baharu untuk industri bagi amalan pekerjaan yang beretika dan adil dalam industri acara dan lebih daripada itu. - DagangNews.com








