Traveloka lancar GOverseas tawar diskaun untuk tiket penerbangan, hotel bermula 31 Mei hingga 6 Jun 2022 | DagangNews Skip to main content

Traveloka lancar GOverseas tawar diskaun untuk tiket penerbangan, hotel bermula 31 Mei hingga 6 Jun 2022

Angelica Chan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 31 Mei - Traveloka dengan kerjasama rakan kongsi superapp melancarkan GOverseas: International Travel Fiesta, yang menawarkan rakyat Malaysia diskaun sehingga RM1,335 untuk tiket penerbangan, hotel dan tempat tarikan pelancong pada 31 Mei hingga 6 Jun 2022.

 

Pengurus Negara Traveloka Malaysia, Angelica Chan berkata, Traveloka akan mengetengahkan tawaran destinasi antarabangsa yang terkenal dan pengembara boleh mendapatkan tawaran lebih hebat semasa sesi jualan kilat harian GOverseas Fiesta pada jam 9 malam hingga 12 pagi.

 

"Inovasi telah menjadi sebahagian besar DNA Traveloka. Memandangkan Malaysia mempunyai kadar penembusan telefon pintar sebanyak 88.48%, maka memang wajar untuk menyemarakkan kembali semangat pengembaraan dalam kalangan rakyat Malaysia secara digital. 

 

"Melalui superapp pengembaraan Traveloka dan laman web kami, kami membolehkan pengembara untuk mendapatkan maklumat-maklumat penting tentang perkara yang boleh mereka lakukan di luar negara dan tentang keperluan Covid-19 negara-negara tersebut selain mendapatkan tawaran hebat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut Chan, Traveloka telah menyaksikan tindak balas positif terhadap selera pengembaraan pelancong kerana mereka yang berada di luar negara kini boleh melawat Malaysia dengan mudah dan rakyat tempatan pula boleh melancong ke luar negara dengan lebih mudah tanpa perlu kuarantin sekembalinya ke tanah air. 

 

"Apa yang diperlukan sekarang adalah maklumat yang lebih mudah diakses oleh pelancong selain menarik minat mereka untuk meneroka dunia sekali lagi dengan tawaran dan diskaun yang hebat," katanya.

 

Superapp pengembaraan itu juga akan memberi ganjaran kepada para pengembara melalui kupon gabungan penerbangan sehingga RM25, apabila mereka mengambil bahagian dalam misi GOverseas dalam aplikasi. 

 

 

traveloka

 

 

Traveloka juga akan melancarkan live stream secara langsung, terutamanya untuk destinasi popular rakyat Malaysia seperti Indonesia, Korea Selatan dan Thailand. Selain itu, pengembara juga boleh mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai keperluan COVID-19 bagi destinasi yang ingin dituju di bawah tab Notis Penting Traveloka.

 

Menurut Traveloka, antara bulan April dan Mei 2022, carian penerbangan untuk destinasi luar negara di superapp pengembaraan tersebut sudah menjangkau carian pada tempoh yang sama pada tahun 2019. 

 

Secara keseluruhan, pengeluaran tiket penerbangan antarabangsa secara purata telah meningkat sebanyak 48%, sejak pengumuman pembukaan semula sempadan pada 24 Mac.

 

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Pemasaran dan Pelanggan Kumpulan Malaysia Airlines, Lau Yin May berkata, syarikat penerbangan itu teruja untuk turut serta pengembaraan menarik rakyat Malaysia sekali lagi. 

 

“Memandangkan momentum permintaan untuk perjalanan ke luar negara telah kembali, kami telah menambah destinasi baharu pada rangkaian luas kami, bermula dengan penerbangan terus ke Doha, Qatar, dan laluan akan datang ke Haneda, Jepun. Kami juga telah meningkatkan kekerapan penerbangan dari Kuala Lumpur ke London, New Delhi, Kathmandu, Colombo dan Chennai," katanya.

 

Mengenai penginapan warga Malaysia di luar negara, Ketua Pegawai Operasi Swiss-Garden International, Ivan Ting berkata, selepas dua tahun menjalankan perniagaan dengan pelbagai kekangan, rangkaian itu sekali lagi bersedia menerima kunjungan rakyat Malaysia di luar negara dengan layanan terbaik melalui jenama tempatan ini.

 

"Kami juga bersedia memberi komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam menetapkan penanda aras yang lebih tinggi untuk mencapai kecemerlangan perkhidmatan bagi pasaran antarabangsa," katanya. - DagangNews.com