KUALA LUMPUR 20 Julai - Komitmen mesra alam Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak terhad kepada penjanaan tenaga hijau dan pemuliharaan persekitaran premisnya, bahkan memperkayakan habitat flora dan fauna dengan menanam lebih 70,000 pokok di pesisiran pantai, sungai, hutan dan taman awam sejak tahun 2009.
Penanaman dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Kerajaan Persekutuan dan Negeri, pihak berkuasa tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu, menyatakan komitmen TNB terhadap isu Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam melindungi bumi agar rakyat terus menikmati kehidupan lebih berkualiti dan lestari.
Antaranya lebih 32,000 pelbagai jenis bakau ditanam di pesisiran pantai Semenanjung, lebih 16,000 pokok hutan dan nadir di Koridor Laluan Hijau iaitu Laluan Hidupan Liar (Wildlife Corridor Replanting Program) dan kira-kira 12,000 pokok teduhan di taman-taman awam.
Dianggarkan 70,000 pokok ini mampu menyerap sehingga 1,470 tan karbon dioksida setahun, sekali gus mengurangkan kadar pelepasan karbon dalam negara.
Pada 18 Julai 2022, TNB menaja 3,300 anak-anak pokok untuk ditanam di lapan lokasi di kawasan pesisir pantai dan Sungai Kuantan dalam menyokong Program Pemulihan Ekosistem Zon Penampan Majlis Bandaraya Kuantan.
Perasmian program itu disempurnakan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Pusat Rekreasi Pantai Chendor, Kuantan.
Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan, Datuk Hamdan Hussin dan Pengurus Besar TNB Pahang, Datuk Baderul Sham Saad.

Berucap di majlis itu, Baderul Sham berkata, program pemuliharaan alam sekitar, khususnya penanaman pokok-pokok bagi menghijaukan bumi, bukanlah asing kepada TNB yang sejak dari dahulu lagi berbuat demikian, khususnya di kawasan-kawasan sekitar stesen janakuasa.
“Ia menjadi semakin fokus apabila TNB menjadikan pemuliharaan alam sekitar sebagai antara pengisian tanggungjawab sosial korporat (CSR) termasuk penggantian pokok di kawasan talian penghantaran, penanaman di taman-taman awam, di pesisiran pantai, kawasan pembiakan kelip-kelip dan di Koridor Laluan Hijau,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa benih bakau seperti bakau minyak atau nama saintifiknya Rhizophora Apiculata dan Bakau Kurap (Rhizophora Mucronata) ditanam di pantai-pantai Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan bagi mencegah hakisan pantai dalam jangka masa panjang.
Inisiatif mewujudkan laluan hijau di hutan Hulu Terengganu pula dengan penanaman pelbagai pokok hutan dan rumput Nappier, membolehkan hidupan liar terutama gajah, kekal bebas dan mendapat bekalan makanan secukupnya.
Pelbagai spesies pokok pula ditanam bagi meneduhkan persekitaran taman-taman awam di semua negeri di Semenanjung melalui Program “Tree For Tree” di samping hampir 3,000 pokok gantian di kawasan talian penghantaran serta 1,800 pohon berembang di kawasan pembiakan kelip-kelip di Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Terengganu.
Penglibatan TNB sekian lama dalam pemuliharan alam sekitar ini secocok aspirasi Hala Tuju Kelestarian (TNB Sustainability Pathway) yang diumumkannya tahun lalu dengan mencartakan perjalanan ke arah mencapai pelepasan karbon sifar bersih.
Ia selaras dengan komitmen kerajaan untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau seluruh negara sebanyak 45% menjelang tahun 2030 dan seterusnya mencapai negara neutral karbon seawal tahun 2050. - DagangNews.com








