KUALA LUMPUR 28 Feb - MIDF Research mengurangkan unjuran keuntungan bersih Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi tahun kewangan 2024 dan 2025 (FY24-25) masing-masing sebanyak 11% dan 6% untuk mencerminkan kos operasi yang lebih tinggi dan penurunan kadar kapasiti kewangan (CRF) untuk anak syarikatnya, Genco.
Firma penyelidikan itu berkata, prestasi syarikat utiliti itu pada FY23 mengecewakan setelah mencatat penurunan keuntungan bersih teras sebanyak 16% tahun ke tahun (YoY) kepada RM3.18 bilion.
Ini menjadikan pendapatan teras setahun penuh TNB merangkumi anggaran MIDF Research dan konsensus masing-masing sebanyak 94% dan 91%.
Meskipun tiada margin bahan api negatif dalam suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23), seiring dengan kestabilan harga arang batu, firma itu berkata keuntungan bersih suku tersebut turun 20% suku ke suku (QoQ) akibat kos operasi yang luar biasa lebih tinggi.
Di samping itu, Genco terperosok kepada kerugian sebelum cukai dan faedah (LBIT) akibat gangguan di loji Manjung sejak penghujung 4QFY23.
“Pada asas setahun penuh, pendapatan teras turun 16% YoY kepada RM3.18 bilion terutamanya disebabkan oleh margin bahan api negatif sebanyak RM619 juta dan penurunan CRF loji penjanaan terpilih sebanyak RM418 juta.
“Bagaimanapun, ini telah diimbangi sebahagiannya oleh perbelanjaan faedah bersih yang lebih rendah 7% YoY disebabkan oleh pengurangan pinjaman, sejajar dengan keperluan modal kerja yang berkurangan memandangkan harga bahan api sederhana,” ulasnya mengenai prestasi FY23 dalam nota penyelidikan hari ini.
Dari segi positif, MIDF Research berkata kunci kira-kira terus bertambah baik dengan penghutang menyusut lagi 22% QoQ kepada RM10.4 bilion didorong pemulihan kos yang lebih baik melalui pelepasan kos tidak seimbang (ICPT) dan kutipan subsidi kerajaan.
Penggearan bersih terus menurun kepada 69% (3QFY23: 76%) apabila paras tunai meningkat seiring dengan pemulihan kos bahan api dan harga bahan api yang menyederhana.
Menurut firma itu pertumbuhan keuntungan bersih TNB pada FY24-25 sebanyak 34% dan 10% tahun ke tahun dijangka didorong oleh ketiadaan margin bahan api negatif dan pertumbuhan asas dalam pendapatan terkawal.
Walaupun unjuran pendapatan disemak turun, pebelanjaan modal (capex) keseluruhan adalah di bawah anggaran awal firma, justeru harga sasaran (TP) dikekalkan pada RM11 sesaham.
Bagaimanapun, MIDF Research menurunkan taraf saranan TNB kepada ‘neutral’ memandangkan penilaian telah mendahului asas pada ketika ini. Saham kini didagangkan pada nisbah harga kepada pendapatan (PER) FY24 sebanyak 15 kali, pada purata min sejarah premium 13.5 kali.
Setakat pukul 9:50 pagi ini, saham TNB telah merosot 30 sen atau 2.6% kepada RM11.12 dengan permodalan pasarannya bernilai RM64.4 bilion.








