TNB bantu 8,650 pelajar keluarga B40 di 3 negeri | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TNB bantu 8,650 pelajar keluarga B40 di 3 negeri

Pengerusi Tenaga Nasional Berhad, Datuk Seri Mahdzir Khalid (kiri) menyerahkan replika cek kepada bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom bagi penyerahan sumbangan bantuan melalui Program Ceria ke Sekolah tahun 2021 di PPD Padang Terap, Kedah 7 Mac 2021.

 

 

 

KUALA LUMPUR 12 Mac - Tenaga Nasional Berhad (TNB) meneruskan program Ceria ke Sekolah untuk membantu pelajar sekolah rendah daripada keluarga B40 menerusi sumbangan untuk 8,650 orang pelajar di Kelantan, Pulau Pinang dan Kedah.

 

Sebahagian besar peruntukan untuk program ini telah diagihkan Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid untuk majlis penyerahan Ceria ke Sekolah peringkat negeri pada 28 Februari lalu di Kota Bharu, Kelantan. 

 

Program ini turut diadakan di Georgetown, Pulau Pinang pada 3 Mac diikuti dan Padang Terap, Kedah (7 Mac). 

 

Penyerahan sumbangan untuk negeri-negeri lain sedang diaturkan TNB bersama pihak yang berkenaan.

 

Sumbangan untuk ketiga-tiga negeri tersebut diserahkan Mahdzir menerusi Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Parlimen dan pemimpin-pemimpin masyarakat dengan kos keseluruhan bernilai RM865,000 atau RM100 setiap pelajar. 

 

Jumlah tersebut adalah sebahagian daripada peruntukan RM3 juta yang telah diluluskan untuk sumbangan Ceria ke Sekolah tahun ini.

 

Mahdzir berkata, bantuan ini diharap dapat mengurangkan tekanan keluarga yang kurang berkemampuan untuk melakukan persediaan anak-anak mereka ke sekolah, terutama berikutan kesan pandemik COVID-19.

 

Menurutnya, pelajar-pelajar yang dibantu dapat ke sekolah dengan kelengkapan serba baru untuk sesi persekolahan yang baru bermula bulan ini, tanpa membebankan ibu bapa mereka dan mereka akan lebih gembira untuk ke sekolah.

 

"Kita juga bekerjasama dengan pihak sekolah untuk mengenal pasti ibu bapa yang mempunyai anak yang ramai agar bantuan dapat diberikan. 

 

"Kalau keluarga tersebut ada enam orang anak yang bersekolah, sekurang-kurangnya kita boleh bantu seorang atau dua orang daripada mereka," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Sejak pelaksanaannya pada 2013, program Ceria Ke Sekolah telah membantu seramai 36,018 keluarga dengan jumlah sumbangan RM7.5 juta di Semenanjung Malaysia dan Sabah. - DagangNews.com