KUALA LUMPUR 29 Nov - TM One, cabang rumusan perniagaan TM untuk sektor perusahaan dan kerajaan, menjalin kerjasama dengan PLANMalaysia bagi membolehkan pihak berkuasa tempatan (PBT) memanfaatkan inovasi pintar dan mewujudkan komuniti bandar yang mampan, cekap dan terhubung.
Kerjasama tersebut adalah fasa seterusnya dalam usaha TM One untuk mempercepatkan aspirasi bandar pintar dan meningkatkan mutu kehidupan di seluruh negara.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama itu, 29 PBT yang dianugerahkan di bawah Program Pengiktirafan Bandar Pintar Malaysia sewaktu Hari Perancangan Bandar Sedunia 2023, akan mendapat akses kepada ujian Bukti Konsep (POC) TM One.
Merangkumi pilihan himpunan perkhidmatan pintar TM One, POC membenarkan pihak terlibat untuk menguji rumusan yang sesuai dengan lokaliti mereka, membolehkan mereka membuat keputusan dalam usaha membangunkan bandar pintar mereka.
Naib Presiden Eksekutif TM One, Shazurawati Abd Karim berkata, pihaknya sentiasa berada di barisan hadapan dalam membolehkan inisiatif bandar pintar negara, membantu PBT di seluruh negara memperkaya kehidupan bandar melalui inovasi pintar.
"Antara kejayaan kami baru-baru ini ialah projek Bandar Pintar di Ipoh, Pengerang, Seberang Prai, Kulai, Port Dickson dan Subang Jaya, yang berjaya mengurangkan masalah trafik, pelepasan karbon yang lebih rendah dan memperbaiki kecekapan bertindak melalui rumusan seperti Pengurusan Trafik Pintar dan Pengawasan Pintar TM One," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Menurut Shazurawati, melalui POC, pihaknya berhasrat untuk membantu kerajaan melaksanakan Perkhidmatan Pintar di lebih banyak lokasi, lantas mendekatkan teknologi ini kepada rakyat Malaysia dan menambah baik cara hidup mereka.

"Ini mencerminkan peranan TM dalam memperkasakan negara digital dan memacu transformasi untuk komuniti, perniagaan dan kerajaan," katanya.
Berdasarkan kejayaan-kejayaan itu, TM One akan menawarkan POC untuk perkhidmatan-perkhidmatan seperti, Sistem Penguatkuasaan Bersepadu, automasi dan analisis cerapan pelbagai perkhidmatan penguatkuasaan operasi PBT yang membantu majlis perbandaran tempatan mengurus komuniti yang lebih besar dengan lebih baik.
Selain itu, Aplikasi Bandar Pintar yang merupakan aplikasi sehenti untuk perkhidmatan e-kerajaan majlis perbandaran tempatan dan Tenaga Kerja Pintar, sistem yang membantu PBT menguruskan pasukan lapangan dalam masa nyata.
Perkhidmatan itu akan membantu pihak terlibat ke arah menjadi bandar pintar sepenuhnya, serta meningkatkan kecekapan keseluruhan dalam operasi dan perkhidmatan kepada komuniti mereka. - DagangNews.com








