TM dijangka dapat lebih manfaat daripada pelancaran MyDigital 5G sebagai penyedia talian tetap – HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TM dijangka dapat lebih manfaat daripada pelancaran MyDigital 5G sebagai penyedia talian tetap – HLIB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 11 Julai - Telekom Malaysia Bhd (TM) kekal sebagai pilihan utama memandangkan ia mempunyai jangkauan rangkaian gentian yang meluas dan langkah pengoptimuman kosnya dilihat akan membuahkan hasil, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata syarikat yang menyediakan talian tetap dijangka penerima manfaat utama dalam penggunaan infrastruktur jalur lebar/5G negara berbanding syarikat mudah alih.

 

Dengan jangkauan meluas gentiannya, HLIB berkata TM dilihat sebagai blok asas kritikal pelancaran 5G kerajaan di bawah inisiatif MyDigital.

 

“Tambahan pula, TM berada pada kedudukan yang baik sebagai satu-satunya Pembekal Perkhidmatan Awan Malaysia apabila kedaulatan adalah yang paling penting dalam menangani data kerajaan,” ujarnya dalam nota penyelidikan semalam.

 

Firma itu ‘neutral’ terhadap sektor telekomunikasi dan menyarankan ‘beli’ saham TM dengan harga sasaran (TP) RM6.94 sesaham.

 

Mengulas lanjut, firma itu berkata peranan TM sebagai backhaul untuk memindahkan data dengan pantas menjadi lebih kritikal dan prasyarat mandatori dalam pembinaan jalur lebar/5G.

 

Tambahnya, lonjakan permintaan jalur lebar borong akan meningkatkan margin di bawah rejim Standard Mandatori mengenai Harga Akses (MSAP) dan pelancaran gentian baharu juga dirundingkan secara komersial (harga tidak dikawal) dan syarikat telekomunikasi yang menyediakan talian tetap akan memperoleh pulangan lebih lumayan.

 

“Kami tidak terlalu mengambil berat tentang semakan harga MSAP baharu. Kesannya tidak seteruk sebelum ini dengan objektif 'menggandakan kelajuan, separuh harga' dan dijangka diimbangi oleh penggunaan yang semakin meningkat dari semasa ke semasa," jelasnya.

 

Bagi pelancaran 5G, HLIB berkata fasa satu rangkaian borong tunggal, Digital Nasional Bhd (DNB) akan terus melancarkan rangkaian 5G sehingga liputan populasi 80% dicapai menjelang akhir tahun, manakala fasa dua (rangkaian dwi borong) akan bermula seawal Januari 2024, di mana pemain lain akan membina rangkaian 5G kedua.

 

Dari segi persaingan, firma itu berkata perniagaan adalah seperti biasa kerana tiga syarikat telekomunikasi teratas kekal berdisiplin dan menumpukan kepada kos.

 

Dengan penggabungan Celcom dan Digi, firma itu menjangkakan persaingan pasaran lebih sihat ditambah pengurangan harga lebih rendah untuk keuntungan bahagian pasaran

 

Selain itu, HLIB berkata hasil dividen syarikat telekomunikasi, yang purata kira-kira 3%, tidak cukup menarik berbanding kadar faedah bebas risiko untuk merangsang minat belian domestik dan asing. - DagangNews.com