Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 6 Okt. - Telekom Malaysia Berhad (TM) berpotensi meraih manfaat daripada tawaran kandungan over-the-top (OTP) oleh Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) seperti Netflix, Disney+Hotstar dan saluran Fox.
Kesemua kandungan itu dijangka mampu meningkatkan permintaan perkhidmatan internet borong TM seterusnya meningkatkan hasil segmen tersebut, menurut penganalisis di AmInvestment Bank, Alex Goh.
Sebagai rekod, TM telah meterai kerjasama dengan anak syarikat Astro, MEASAT Broadcast Network Systems Sdn Bhd untuk menyediakan himpunan lengkap penyelesaian infrastruktur dan sambungan yang merangkumi kesemua peringkat perkhidmatan borong termasuklah jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB), 'bandwidth', 'backhaul' dan akses internet kepada Astro.
“Memandangkan perkhidmatan data borong perlu memenuhi struktur harga akses standard serta perkhidmatan bernilai tambah untuk pelancaran 'bandwidth' di seluruh negara, kadar langganan runcit Astro perlu segera ditingkatkan untuk menyaingi kedudukan kukuh TM, disokong oleh pemilikan rangkaian jalur lebar berkelajuan tinggi dan sub-bandar.
“Sebagai contoh, Astro perlu memajakkan sambungan data borong untuk seluruh bangunan bertingkat walaupun hanya segelintir penduduk di situ mungkin memilih pelan jalur lebar baharu, sementara TM berkemungkinan masih mampu mengawal penguasaan pasaran. Walaupun pelanggan baharu mungkin memilih pelan gentian runcit Astro, namun TM masih peroleh hasil perkhidmatan data borong.
“Ini bermakna tawaran kandungan bermutu tinggi Astro, di mana meliputi tayangan tempatan dan pilihan OTP seperti Netflix, Disney+Hotstar dan saluran Fox, akan memacu lagi permintaan data borong TM dan menyokong hasil segmen berkenaan untuk terus meningkat,” jelas Goh dalam satu nota penyelidikan.
Menurut Goh lagi, walaupun Astro dijangka muncul sebagai pemain segmen jalur lebar gentian runcit, namun TM percaya bahawa peningkatan hasil dalam segmen perkhidmatan internet borong akan mengurangkan sebarang kerugian dalam pendapatan unifi menerusi pengambilalihan penguasaan pasaran Astro.
AmInvest mengekalkan saranan ‘beli’ saham TM dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada kadar RM7.10 sesaham. - DagangNews.com








